Definisi

MADANI merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baru dan ketidakpastian. Enam nilai teras MADANI dicerakin sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu, dengan setiap satu menguatkan yang lain. MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambilkira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

Misi

Matlamat kita adalah untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan 6 nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama.

Visi

Mencorak masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

Peranan UKM

YAB PM ingin memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur berdasarkan enam (6) teras utama iaitu:

  1. kemampanan
  2. kesejahteraan
  3. daya cipta
  4. hormat
  5. keyakinan
  6. ihsan

Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju untuk melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sekretariat kepada penganjuran program-program penerangan berkaitan Malaysia MADANI peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Ini berasaskan keyakinan Kementerian terhadap komitmen dan kemampuan UKM bagi melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan komited. Kementerian berbesar hati melantik UKM sebagai sekretariat kepada penganjuran program-program penerangan berkaitan Malaysia MADANI.

Wacana MADANI

Wacana MADANI Siri 1

Bagi menyambut hasrat YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam menyatakan visi dan Kerangka Dasar Reformasi dalam membangunkan Negara Madani, Pusat Strategi UKM mengadakan Program Wacana Madani Siri 1: Malaysia Madani dalam Memperkasa Perpaduan Nasional yang diadakan di Persada Canselori, hari ini.

Wacana ini diadakan bagi memberi kefahaman yang lebih tuntas dalam kerangka pemikiran, falsafah, etika dan tindakan dalam membangunkan Malaysia Madani dari perspektif Pendidikan Tinggi.

Wacana yang dikendalikan oleh Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar sebagai moderator telah menampilkan empat ahli panel. Mereka ialah Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty; Presiden Kolej Darul Hikmah, Prof. Dr. Zaid Ahmad Pegawai Eksekutif; Fakulti Ekologi Malaysia Universiti Putra Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said; Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara dan Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; Felo Kanan Bersekutu, Institut Islam Hadhari, juga merupakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri & Masyarakat) Fakulti Pengajian Islam UKM.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM; Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak, Naib Canselor; Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni; Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat; Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, Pendaftar; Dato’ Dr. Syed Kamarudin bin Hj. Sadakkuthulla, Ketua Pustakawan; Cik Rohaya Omar dan Pro- Naib Canselor Strategi dan Pengurusan Korporat, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan.

Wacana MADANI Siri 2

Siri Wacana Madani Siri 2 telah berlangsung di Persada Canselori hari ini. Perkongsian kali ini bertajuk “Memartabatkan Bangsa Malaysia bagi Menzahirkan Malaysia Madani”.

Wacana ini menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff; Penganalisis Politik dan Kerajaan, Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri; dan Penolong Profesor Fakulti Industri Kreatif Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr. Charanjit Kaur sebagai panel.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) Prof Dato Dr Roslee Rajikan.

Program ini merupakan salah satu medan perkongsian maklumat mengenai gagasan Malaysia Madani yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-10, bagi membawa Malaysia ke landasan baharu dalam menghadapi cabaran pembangunan negara.

Objektif utama penganjuran Wacana Madani adalah untuk menyediakan platform bagi para sarjana, pakar dan penyelidik di seluruh negara untuk berbincang mengenai agenda Malaysia Madani, memberi kefahaman berkenaan makna Naratif Madani dan Kerangka Dasar Madani dan membincangkan dan pelaksanaan dasar Rukun Madani dalam pendidikan Tinggi.

Wacana MADANI Siri 3

Siri Wacana Madani Siri 3 telah berlangsung di Persada Canselori hari ini. Perkongsian kali ini bertajuk, “Kestabilan Teras Kemakmuran Ekonomi”.

Bicara ini akan menampilkan Pengarah MINDA-UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali; Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugam Pandian; dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Malaysia, Tuan Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai panel.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman turut meluangkan masa menghadiri wacana ini.

Program ini merupakan salah satu medan perkongsian maklumat mengenai gagasan Malaysia Madani yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-10, bagi membawa Malaysia ke landasan baharu dalam menghadapi cabaran pembangunan negara.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kasim; Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla; dan Bendahari, Encik Mohd Azli Mohd Kasirun.

Wacana MADANI Siri 4

Pusat Strategi UKM telah menganjurkan Wacana Madani Siri 4 yang mengupas berkaitan Peranan Belia dalam Memperkasa Daya Cipta Madani yang berlangsung di Persada Canselori, hari ini.

Wacana pada kali ini menfokuskan kepada peranan belia dalam membangunkan sebuah negara berasaskan pendekatan Madani. Kupasan pada kali ini membawakan beberapa tokoh belia dari pelbagai latar belakang yang telah mencipta nama di Malaysia dalam industri dan NGO. Mereka adalah ChM. Dr Muhamad Zamir Othman, Naib Presiden SugarBomb Worldwide Sdn. Bhd.; Azim Zahid Azmi, Pengasas Bulan Bintang HQ; Mohd Izzat Afifi Haji Hamid, Pengerusi Majlis Belia Malaysia dan Ceddy Ang, Conten Creator dan Pengasas bersama OwletBeauty.

Perbincangan juga menjurus kepada cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh belia apabila teknologi mula meguasai industri dan sumber manusia makin dikurangkan dalam arena pekerjaan. Media sosial menjadi medium utama dalam urusan seharian dan kupasan berkaitan impak positif dan negetif dalam dunia tanpa sempadan.

Turut hadir, Prof. Madya Dr. Suzeren Md. Jamil, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Rizal Palil, Timbalan Pengarah Eksekutif (Data Strategik), warga dan mahasiswa UKM.

Debat Perdana MADANI 2023

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hadir merasmi dan menyampaikan ucaptama pada program Debat Perdana Madani 2023 yang julung kali diadakan di UKM, hari ini.

Dalam ucaptama beliau, YB Menteri menegaskan bahawa Debat Perdana MADANI ini adalah Projek Negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea dan buah pandangan yang pelbagai.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI yang diadakan hari ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.

Beliau memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel hari ini, bukan sahaja sangat dihargai, tetapi akan diberikan perhatian yang serius.

Debat kali ini menampilkan 10 ahli panel dari pelbagai latar belakang dengan tiga slot utama iaitu Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, Pembentangan 3 Panel dan Forum Malaysia MADANI.

Bagi Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, slot ini menampilkan bicara santai tentang senario Malaysia MADANI dari sudut sosial dan ekonomi yang menampilkan pakar ekonomi terkenal Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dari UKM, pakar kajian tamadun Prof. Dato’ Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya (UM) dan pakar kajian sosial Dr. Charanjit Kaur dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Slot ini dimoderatorkan oleh pendakwah terkenal tanah air iaitu Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dari UKM.

Sesi Pembentangan 3 Panel pula menampilkan pakar kajian tamadun kelahiran Turkiye dari Qatar iaitu Prof. Dr. Recep Senturk yang membentangkan tajuk MADANI in The Context of Modernity dan Prof. Dr. Din Syamsuddin yang merupakan Guru Besar Politik Islam Global dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Indonesia, yang membentangkan tajuk Memberi Makna Kepada Sebuah Negara MADANI. Manakala Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh membentangkan Peranan Cendekiawan Dalam Membangun Bangsa MADANI.

Forum Malaysia MADANI dengan tajuk Merealisasikan Negara MADANI: Cabaran dalam Malaysia yang Majmuk menampilkan empat sarjana iaitu Dato’ Dr. Madeline Berma yang merupakan Felo, Akademi Sains Malaysia; Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Insitute of Strategic and International Studies (ISIS); Prof. Dr. Khairudin Aljunied dari Jabatan Sejarah UM dan Prof. Dato’ Dr. Sivamurugam Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman.

Antara lain yang hadir adalah Pengerusi-pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Ahli-ahli, Naib-naib Canselor dan Rektor, Universiti Awam dan IPTS, Pengurusan Tertinggi dan Pegawai-pegawai Kanan KPT dan UKM.