Bancian Trafik Kampus UKM Bangi

Pusat Strategi UKM (Strategi UKM) bersama penyelidik Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah menjalankan satu kajian bancian trafik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus Bangi pada 19 Februari 2025 dari jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang bagi mengenal pasti pola pergerakan kenderaan dalam kampus.

Kajian ini bertujuan menyokong usaha kelestarian UKM dengan mengoptimumkan penggunaan ruang parkir, mengurangkan pelepasan karbon, serta memperbaiki kecekapan mobiliti dalam kampus. Bancian ini dijalankan di tiga lokasi utama yang dipilih sebagai stesen bancian ialah;

  1. Stesen 1 – kawasan berdekatan persimpangan Kolej Keris Mas,
  2. Stesen 2 – Bulatan Fakulti Sains dan Teknologi,
  3. Stesen 3 – Jabatan Pembangunan Prasarana.
Lokasi Bancian Trafik

Sepanjang kajian ini, tumpuan diberikan kepada mengenal pasti waktu puncak, jenis kenderaan yang kerap digunakan, serta aliran trafik utama yang mempengaruhi kesesakan dalam kampus. Hasil dapatan telah membantu mengenal pasti cabaran utama dalam pengurusan trafik, termasuk lalulintas pada waktu-waktu tertentu serta keperluan untuk sistem pengangkutan yang lebih sistematik dan mesra alam.

Sebagai langkah penambahbaikan, beberapa cadangan diketengahkan, termasuk menggalakkan penggunaan bas kampus, memperkukuh jaringan laluan pejalan kaki dan basikal, serta meneliti kemungkinan pengurangan penggunaan kenderaan persendirian dalam kampus. Selain itu, penjadualan semula pengangkutan awam dalaman serta inisiatif kesedaran mengenai impak trafik terhadap kelestarian membantu sebagai langkah strategik ke arah kampus yang lebih hijau. Bancian ini dapat menjadi panduan dalam merancang sistem pengangkutan yang lebih efisien dan lestari di UKM, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi kampus rendah karbon dan mesra alam.

Aktiviti cerapan lalulintas kampus UKM Bangi

Similar Posts