Bicara Watan 2024 ‘UKM Legasi Universiti Watan’
Pro Naib Canselor, Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan menghadiri program Bicara Watan 2024 di Panggung Seni, semalam.
Bicara Watan 2024 yang julung kalinya dianjurkan merupakan platform bagi mencerakinkan peranan universiti dan warga UKM dalam menghidupkan dan menghayati agenda UKM sebagai Universiti Watan.
Ahli panel bagi Bicara Watan 2024 dengan tajuk ‘UKM Legasi Universiti Watan’ adalah Canselor Nilai University, Prof. Emeritus Tengku Dato’ Dr. Shamsul Bahrin yang merupakan ahli Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan dan Ahli Kumpulan Pengasas UKM pada tahun 1969, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Encik Chin Chee Seong yang merupakan Alumni Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina pada tahun 1985, Pakar Strategi Penjenamaan Diniflix Sdn. Bhd., Puan Dini Tajudin, yang merupakan Alumni UKM Graduate School of Business pada 2023 dan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Arvend Applasamy yang merupakan Alumni Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pada 2017. Sesi tersebut telah dimoderasikan oleh Puan Nurul Shuhadah Armawan yang juga merupakan Alumni UKM Graduate School of Business pada 2023 di mana ahli panel berkongsi aspirasi penubuhan dan harapan bagi UKM dalam tahun mendatang.
Dalam ucapannya, Prof. Roslee turut berkongsi pencapaian terkini UKM yang berada dalam kalangan 9% universiti terbaik di dunia, dengan kedudukan 138 dalam QS World University Ranking 2025, menunjukkan komitmen semua warga universiti dalam mencapai kecemerlangan. Penubuhan kampus di Qatar dan Indonesia juga merupakan bukti Universiti Watan semakin mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.
Bicara Watan 2024 telah berjaya menjadi medan perkongsian yang memperkukuhkan semangat Universiti Watan warga UKM dan memperingati aspirasi awal penubuhannya sebagai Universiti Watan di samping membangkitkan rasa bangga serta menanam azam bagi melestarikan legasi kecemerlangan universiti.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak turut meluangkan masa hadir ke Bicara Watan 2024.