Majlis Anugerah Bitara UKM 2024

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyambut kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Anesee Ibrahim ke Majlis Anugerah Bitara UKM 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Anugerah Bitara UKM kali ke-9 ini julung kali diadakan pada tahun 2016, dianjurkan pada setiap tahun untuk mengiktiraf staf dan Pusat Tanggungjawab (PTj) yang cemerlang dalam bidang akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, penjanaan, pembangunan modal insan, dan lain-lain.
Sebanyak 16 anugerah dipertandingkan dan pada tahun ni, 47 penerima anugerah telah dinobatkan dalam majlis yang gilang gemilang. Para pemenang menerima sijil, trofi, dan replika simbolik wang tunai berjumlah antara RM2,000 hingga RM5,000.
Dalam ucapan perasmian, Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata medium pengiktirafan seperti ini sangat penting bagi menzahirkan penghargaan kepada warga universiti yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan sumbangan masing-masing. Beliau juga berkata penganugerahan ini sudah pasti dapat memberi suntikan semangat bagi meningkatkan sumbangan masing.
Sementara itu, Naib Canselor berkata penganjuran majlis berprestij ini adalah bagi menghargai dan mengiktiraf warga UKM yang telah mencurah idea, komitmen dan sentiasa memberi yang terbaik bagi memastikan citra universiti watan ini sentiasa releven di persada kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang dan berharap agar kemenangan yang dicapai hari ini tidak terhenti di sini sahaja, tetapi menjadi batu loncatan untuk warga UKM meraih pengiktirafan yang lebih tinggi.
Antara yang hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali dan Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Haji Mohamad Rasdi; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil; Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof Dato’ Dr Roslee Rajikan; Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid dan Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, yang menjalankan fungsi Pendaftar.

Similar Posts