Penghasilan Filem Pendek Dakwah Berdasarkan Modul “Da’eiScript2Screen”

Modul “Daie script2screen” telah dibangunkan melalui Geran Penyelidikan Industri (INDUSTRI-2013-013) sebagai asas rujukan penulis skrip dalam menghasilkan skrip yang selari dengan elemen patuh syariah. Buku modul “Daie script2screen” ini telah didaftarkan sebagai harta intelek di Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK)- Fail No. UKM1KB/108/2/1086. Oleh itu, kajian ini merupakan kajian lanjutan daripada kajian tersebut bagi bertujuan untuk mengkaji keberkesanan bengkel yang menggunakan modul “Daie script2screen”. Hasil daripada bengkel yang akan dijalankan, skrip filem pendek dakwah yang dihasilkan dapat diangkat sebagai naskhah yang boleh dikomersialkan kepada stesen televisyen di Malaysia. Pihak Kuiscell sebagai kolaborator kajian ini turut terlibat secara langsung dalam menyumbang khidmat kepakaran dalam membangunkan skrip sehingga diterbitkan. Skrip yang dihasilkan ini akan melalui proses ‘shooting’ dan ‘editing’ dengan kerjasama profesional krew produksi Kuiscell Sdn. Bhd. Jangkauan hasil penyelidikan ini dapat menghasilkan empat buah filem pendek dakwah bagi tayangan bulan Ramadhan 2017. Empat slot siri tayangan akan dikomersialkan kepada stesen TV al-Hijrah untuk disiarkan sepanjang bulan Ramadhan tersebut. Produk filem pendek ini juga turut boleh dikomersialkan di stesen TV atas talian iaitu Al-Hikmah TV (http://www.alhikmahtv.com/)

Justeru, bidang kandungan kreatif (creative content) termasuk pembangunan skrip patuh syariah dilihat sebagai bidang penyelidikan baharu yang boleh diterokai. Melihat kepada kebolehpasaran filem pendek dakwah yang mengangkat karya patuh syariah sejak akhir-akhir ini menunjukkan masyarakat dan industri kreatif di Malaysia sudah menerima pembaharuan ini. Justeru, keperluan kepada satu penyelidikan yang bersifat komersial amat perlu dalam membangunkan karya patuh syariah yang sebenar sebagai satu inovasi kepada dunia industri kreatif di Malaysia. Oleh itu, sudah tiba masanya pihak UKM turut mempelopori bidang ini sebagai inovasi penyediaan isi kandungan kreatif patuh syariah di Malaysia sebagai penjanaan kewangan baharu.