Your Language My Culture

Program Your Language My Culture (YLMC) merupakan usaha untuk mengangkat kandungan budaya dan warisan Terengganu melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris untuk anak-anak Terengganu. Dalam konteks ini, pembelajaran bahasa Inggeris diterapkan melalui budaya ke arah usaha mengekalkan identiti. Hasil dapatan kajian fasa pertama projek YLMC (2016-2018) telah merumuskan penggunaan bahan tempatan untuk meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris mencetuskan minat pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris menggunakan topik yang berasal dari budaya Terengganu. Pelajar teruja kerana topik membantu memotivasi mereka untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan-rakan dan guru mereka. Penglibatan pelajar membawa kepada lebih banyak komunikasi dan perbincangan serta suasana bilik darjah yang lebih interaktif. Fasa kedua (2019) memfokuskan kepada menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris peringkat menengah atas berasaskan projek menggunakan YLMC Culture Matrix. Projek YLMC telah membangunkan satu perspektif tempatan di samping mengenali perspektif Barat yang terkandung secara tersirat dalam bahan bacaan berbahasa Inggeris. Fasa ini akan mengkaji keterampilan bahasa dan budaya melalui pendekatan pembelajaran dan pengajaran (PdP) projek serta menghasilkan satu gambaran keseluruhan pengintegrasian bahasa dan budaya dalam kehidupan seharian. Program pembelajaran bertunjangkan budaya tempatan seperti ini dilihat boleh disesuaikan mengikut budaya di negeri-negeri lain sebagai strategi menarik minat pelajar untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.