Penulisan Akademik: Teori dan Amalan (Edisi Kedua)

Menulis merupakan satu kemahiran yang tidak boleh dikuasai tanpa seseorang itu memiliki ilmu asas menulis yang baik. Menulis juga menuntut sseorang itu memberikan tumpuan sepenuhnya tentang apa yang ditulis, mesej yang ingin disampaikan dan kehendak khalayak pembaca. Jika minat dan keghairahan menulis tidak ada dalam jiwa seseorang itu, tentu amat sukar untuk beliau menghasilkan sesuatu penulisan, sama ada berbentuk akademik mahupun karya kreatif. Justeru, buku ini dihasilkan untuk membantu pelajar menghasilkan penulisan akademik yang baik mengikut bidang masing-masing. Buku ini mengandungi 17 bab yang disusun mengikut urutan. Setiap bab salin berkaitan dan ia membantu pelajar untuk menulis dengan baik. Bab 1 hingga 4 membincangkan tentang penulisan akademik. Bab 5 hingga 15 membincangkan kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar sebelum menulisan sesuatu penulisan akademik atau tugasan ilmiah yang dibuat. Bab 16 dan 17 khusus untuk memberi panduan kepada pelajar bagaimana hendak menganalisis secara kritis artikel jurnal atau prosiding serta bagaimana hendak menghasilkan satu penulisan kertas konsep. Semua contoh dalam buku ini adalah contoh sebenar yang boleh dijadikan asas kepada pelajar bagaimana untuk menghasilkan satu penulisan akademik yang baik. Buku ini juga sesuai digunakan oleh pelajar sarjana muda, doktor falsafah, pensyarah yang mengajar asas penulisan akademik di universiti awam, universiti swasta dan juga institut pendidikan perguruan.

Sistem Muzium Maya e-Commerce (V~amuse C)

Sistem Muzium Maya e-Commerce atau dikenali sebagai V~amuse C merupakan projek lanjutan dan penambahbaikan daripada Sistem Muzium Maya sedia ada yang telah dilancarkan pada tahun 2016. V~amuse C adalah sistem yang mereka bentuk dan membangun aplikasi muzium maya dengan memperkukuhkan reka bentuk antara muka penggunaan peranti mudah alih. Terdapat juga fitur transaksi untuk menjana pendapatan bagi melestari pemeliharaan koleksi digital secara berterusan.

Pengguna dapat berinteraksi dengan artifak 360 darjah dalam bentuk 3D selain daripada menjelajah dan melayari setiap galeri di dalam Muzium Negeri Terengganu. Pengguna turut dapat melakukan transaksi pembelian maklumat dan paparan artifak yang disimpan dalam respositori serta pembelian tiket masuk secara dalam talian. Di samping itu, pengguna dapat merasai pengalaman menjelajahi Muzium Negeri Terengganu bukan hanya melalui paparan komputer/desktop sahaja, namun sistem ini juga dapat dipaparkan melalui peranti mudah alih.

Bahasamu Budayaku Penguasaan Bahasa Inggeris di Terengganu menerusi program

Program Your Language My Culture (YLMC) merupakan usaha untuk mengangkat kandungan budaya dan warisan Terengganu melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris untuk anak-anak Terengganu. Dalam konteks ini, pembelajaran bahasa Inggeris diterapkan melalui budaya ke arah usaha mengekalkan identiti. Hasil dapatan kajian fasa pertama projek YLMC (2016-2018) telah merumuskan penggunaan bahan tempatan untuk meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris mencetuskan minat pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris menggunakan topik yang berasal dari budaya Terengganu. Pelajar teruja kerana topik membantu memotivasi mereka untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan-rakan dan guru mereka. Penglibatan pelajar membawa kepada lebih banyak komunikasi dan perbincangan serta suasana bilik darjah yang lebih interaktif. Fasa kedua (2019) memfokuskan kepada menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris peringkat menengah atas berasaskan projek menggunakan YLMC Culture Matrix. Projek YLMC telah membangunkan satu perspektif tempatan di samping mengenali perspektif Barat yang terkandung secara tersirat dalam bahan bacaan berbahasa Inggeris. Fasa ini akan mengkaji keterampilan bahasa dan budaya melalui pendekatan pembelajaran dan pengajaran (PdP) projek serta menghasilkan satu gambaran keseluruhan pengintegrasian bahasa dan budaya dalam kehidupan seharian. Program pembelajaran bertunjangkan budaya tempatan seperti ini dilihat boleh disesuaikan mengikut budaya di negeri-negeri lain sebagai strategi menarik minat pelajar untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Penghasilan Filem Pendek Dakwah Berdasarkan Modul “Da’eiScript2Screen”

Modul “Daie script2screen” telah dibangunkan melalui Geran Penyelidikan Industri (INDUSTRI-2013-013) sebagai asas rujukan penulis skrip dalam menghasilkan skrip yang selari dengan elemen patuh syariah. Buku modul “Daie script2screen” ini telah didaftarkan sebagai harta intelek di Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK)- Fail No. UKM1KB/108/2/1086. Oleh itu, kajian ini merupakan kajian lanjutan daripada kajian tersebut bagi bertujuan untuk mengkaji keberkesanan bengkel yang menggunakan modul “Daie script2screen”. Hasil daripada bengkel yang akan dijalankan, skrip filem pendek dakwah yang dihasilkan dapat diangkat sebagai naskhah yang boleh dikomersialkan kepada stesen televisyen di Malaysia. Pihak Kuiscell sebagai kolaborator kajian ini turut terlibat secara langsung dalam menyumbang khidmat kepakaran dalam membangunkan skrip sehingga diterbitkan. Skrip yang dihasilkan ini akan melalui proses ‘shooting’ dan ‘editing’ dengan kerjasama profesional krew produksi Kuiscell Sdn. Bhd. Jangkauan hasil penyelidikan ini dapat menghasilkan empat buah filem pendek dakwah bagi tayangan bulan Ramadhan 2017. Empat slot siri tayangan akan dikomersialkan kepada stesen TV al-Hijrah untuk disiarkan sepanjang bulan Ramadhan tersebut. Produk filem pendek ini juga turut boleh dikomersialkan di stesen TV atas talian iaitu Al-Hikmah TV (http://www.alhikmahtv.com/)

Justeru, bidang kandungan kreatif (creative content) termasuk pembangunan skrip patuh syariah dilihat sebagai bidang penyelidikan baharu yang boleh diterokai. Melihat kepada kebolehpasaran filem pendek dakwah yang mengangkat karya patuh syariah sejak akhir-akhir ini menunjukkan masyarakat dan industri kreatif di Malaysia sudah menerima pembaharuan ini. Justeru, keperluan kepada satu penyelidikan yang bersifat komersial amat perlu dalam membangunkan karya patuh syariah yang sebenar sebagai satu inovasi kepada dunia industri kreatif di Malaysia. Oleh itu, sudah tiba masanya pihak UKM turut mempelopori bidang ini sebagai inovasi penyediaan isi kandungan kreatif patuh syariah di Malaysia sebagai penjanaan kewangan baharu.

Sistem Pemantauan dan Notifikasi Rangkaian CAISER™

Projek penyelidikan CAISER (Computer Assisted Intelligent Event Processor) yang bermula pada tahun 2011 melalui penyelidikan Doktor Falsafah (PhD) oleh Prof Madya Dr Mohamad Hanif Saad kini telah merentasi Dubai.

Sistem pintar paling kompleks yang telah dibangunkan menggunakan platform CAISER adalah Sistem Pemantauan dan Notifikasi Rangkaian yang digunakan oleh unit ICT Perbadanan Putrajaya. CAISER adalah teknologi platform yang membolehkan penciptaan sistem pintar menggunakan pendekatan Pemprosesan Peristiwa Kompleks (Complex Event Processing, CEP). CAISER memiliki tiga kategori komponen utama di dalam platformnya iaitu komponen penyesuaian pemerolehan data dari persekitaran, komponen pengesan dan pemproses peritiwa serta komponen penyesuai perlaksanaan tindakan mitigasi. Diantara contoh-contoh penyesuai yang telah dibangunkan adalah penyesuai robot pengawasan, penyesuai CCTV pintar, penyesuai Unit Terminal Jauh (Remote Terminal Unit, RTU; digunakan untuk memperoleh data dari lapangan), penyesuaian antara muka Pengawal Logic Bolehatur (Programmable Logic Controller, PLC), penyesuaian komunikasi melalui Telegram dan banyak lagi. Sebagai contoh, beberapa buah blok penyesuai CCTV pintar boleh digabungkan bersama blok penyesuaian Telegram serta pemproses peristiwa CAISER untuk membangunkan sistem pengawasan pintar yang mampu mengesan kelakuan manusia dalam persekitaran dan menghantar notifikasi melalui Telegram bagi peristiwa yang bersifat anomali seperti pergerakan individu mundar-mandir dihadapan pejabat pada jam 12 tengah malam.