hctm-lancar-program-jom-infaq,-kumpul-dana-naik-taraf-surau

HCTM Lancar Program Jom Infaq, Kumpul Dana Naik Taraf Surau




Oleh Asmahanim Amir


Foto Izwan Azman

CHERAS, 4 April 2022 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dengan kerjasama Pusat Islam UKM Kampus Kuala Lumpur (UKM KKL) melancarkan Program Jom Infaq Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun bagi pengubahsuaian dan pembesaran Surau Ibu Sina dan ruang musolla di dewan bedah.

Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin berkata sasaran kutipan dana bagi pembinaan ruang musolla dewan bedah adalah kira-kira RM40,000, manakala naik taraf Surau Ibnu Sina HCTM adalah sebanyak RM1.2 juta.

“Program ini dilihat dapat menggalakkan warga UKM sama ada kakitangan mahupun pelajar untuk bersama-sama mengejar pahala terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Jom Infaq Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM UKM, di sini.

Beliau berkta keperluan ruang solat yang selesa dan berdekatan dengan dewan bedah amat diperlukan memandangkan jarak antara dewan bedah dan surau agak jauh dan kakitangan mengambil masa untuk menunaikan kewajipan kepada Pencipta.

Selian itu, katanya, dana infaq ini juga akan digunakan untuk kebajikan asnaf dalam kalangan kakitangan UKM KKL.

“Bantuan berbentuk wang ringgit akan diberikan kepada asnaf dalam meringankan beban yang dihadapi.

“Besarlah harapan saya agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua yang menyertainya dan HCTM amat mengalu-alukan semua warga kerja untuk menjadikan platform ini sebagai pilihan bagi melunaskan hasrat melakukan kebajikan dan mengejar saham akhirat.


ukm-buka-kampus-cawangan-di-qatar

UKM Buka Kampus Cawangan di Qatar




Oleh Asmahanim Amir


Foto UKMShape

BANGI, 1 April 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal membuka cawangan di Doha, Qatar, dengan pengambilan pelajar sulung adalah pada September ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pembukaan cawangan UKM di negara itu akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain dari penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.

“UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Sebagai sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentasi sempadan dunia,” katanya.

Beliau berkata pembukaan cawangan UKM di Doha adalah projek kerjasama dengan The Regional Group yang merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan.

“Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha.

The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Manakala  UKM bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan,” ujarnya.

Tambah beliau, UKM juga berbangga kerana dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, The Regional Group bersetuju untuk membiaya pembinaan kampus cawangan UKM di Qatar.

Katanya, program offshore dijangka akan mula ditawarkan pada bulan Oktober 2022 dengan kumpulan pertama pelajar akan mengikuti program sarjana muda.

“Antara program yang akan ditawarkan adalah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat), Sarjana Muda Kejururawatan dan Sarjana Muda Sains (Teknologi Kimia).

“Kita mensasarkan pelajar yang akan mengikuti pengajian di UKM cawangan Doha adalah dari kalangan rakyat Qatar itu sendiri dan juga rakyat negara lain yang bekerja di Qatar dan dari negara-negara Teluk,” katanya.

Selain penawaran program secara offshore, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata, pihak Qatar turut berminat untuk mendapatkan khidmat kepakaran UKM dalam kerja-kerja perundingan dan penyelidikan untuk projek-projek di Qatar.

“Melalui pembukaan UKM cawangan Doha ini,  ia akan dapat meningkatkan penjanaan universiti disamping menyebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang lain ke peringkat antarabanga.

“Terima kasih kepada kerajaan Qatar kerana membenarkan UKM membuka cawangan di Doha. Saya percaya dengan kerjasama ini, UKM khususnya Malaysia dan Qatar dapat mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang,” katanya.

Pembukaan cawangan UKM di Doha telah dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan kerjanya di negara itu, baru-baru ini.

rancangan-idoktor-ketengahkan-kisah-sebenar-tugas-dan-cabaran-seorang-doktor

Rancangan iDoktor Ketengahkan Kisah sebenar Tugas dan Cabaran Seorang Doktor




Oleh Asmahanim Amir


Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 1 April 2022 – Rancangan iDoktor yang menampilkan beberapa pakar perubatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mengisahkan kehidupan sebenar tugas dan cabaran seorang doktor yang bertugas di hospital.

Rancangan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi di saluran TV Okey RTM tersebut akan memaparkan gambaran jelas kepada masyarakat tentang tugas-tugas dan cabaran doktor mengikut bidang disiplin perubatan dalam mengendalikan sesuatu kes atau pesakit di hospital.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata penglibatan doktor-doktor di HCTM dalam rancangan iDoktor itu menjadi salah satu platform bagi pengembangan ilmu, bakat dan kemahiran kakitangan UKM dan HCTM dalam peningkatan kerjaya bidang penerbitan tv.

“Doktor pakar ini akan bertindak sebagai “vehicle” atau pembawa jalan cerita bagi sesebuah episod. Rancangan ini juga akan memaparkan pergerakan visual berkonsepkan dokumentari majalah berbentuk realiti rutin pakar beserta kumpulan pasukan perubatan bagi setiap disiplin perubatan di HCTM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan Syarikat Taiping Broadcast System Sdn. Bhd., di sini.

Prof. Dato’ Dr. Norazah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat atas kerjasama yang diberikan dalam menghasilkan rancangan televisyen tersebut.

“Kesemua ini dirangkumkan dan diterjemahkan melalui kepakaran penerbitan oleh kakitangan UKM dan HCTM yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang penerbitan. Ini termasuklah dari segi idea, konsep, skrip, kandungan kreatif, kumpulan produksi, dan pengarahan rancangan tv.

“Namun semua perancangan ini tidak akan terlaksana tanpa adanya bantuan daripada Syarikat Taiping Broadcast System Sdn. Bhd. yang berpengalaman dan berpengetahuan dari segi krew penggambaran, suntingan, kesan khas dan grafik bagi memastikan program iDoktor ini berkualiti tinggi dan mengikut piawaian stesen televisyen di Malaysia.

“Saya juga rasa berbesar hati dengan kerjasama ini kerana melalui peluang sebegini ia boleh menjadi salah satu platform bagi pengembangan ilmu, bakat dan kemahiran kakitangan UKM dan HCTM dalam peningkatan kerjaya bidang penerbitan tv,” katanya.

Rancangan iDoktor yang bakal disiarkan sebanyak 13 episod itu mampu memberi manfaat kepada masyarakat tentang kehebatan dan kemampuan anak tempatan khususnya pakar-pakar di HCTM dalam bersaing dengan kepakaran luar negara untuk memberi perawatan yang terbaik kepada masyarakat.

Rancangan itu akan disertakan dengan paparan informasi mengenai sesuatu penyakit dari segi punca, pencegahan, perubatan dan keupayaan teknologi perubatan yang ada di Malaysia.


teknologi-kesan-emosi-pemandu-kurangkan-risiko-kemalangan-jalan-raya

Teknologi Kesan Emosi Pemandu Kurangkan Risiko Kemalangan Jalan Raya




Oleh Aina Syahirah Haidil & Farah Natasya Ramani

Saban tahun, kadar kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan di negara ini. Hampir setiap hari, kita juga sering disajikan oleh media dengan berita kemalangan maut yang menyayat hati. Perkara ini amat membimbangkan kerana sikap pemandu kerap dikaitkan sebagai punca utama kemalangan jalan raya.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman pemanduan ketika berada di United Kingdom, Prof. Madya Dr. Sawal Hamid Md Ali mendapat ilham untuk membangunkan sistem pengesanan emosi pemandu di jalan raya.

Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (UKM) mula menyimpan hasrat sewaktu melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di University of Southampton.

“Saya dapati tingkah laku pemandu di UK sangat berbeza berbanding pemandu di Malaysia,” katanya.

Bagi merealisasikan sebuah teknologi baharu yang dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya, beliau yang juga merangkap ahli penyelidik bagi Rangka Kerja Sains Mega Malaysia tahun 2013 hingga 2050 di bawah Akademi Sains Malaysia, menjalankan beberapa buah kajian berkenaan dengan tingkah laku pemandu dan emosi manusia dalam bidang automatif.

Teknologi mampu kesan emosi pemandu

Menurut beliau, kajian ini dikatakan berbeza kerana ia mendapatkan pengesanan sumber emosi dari manusia dengan menggunakan metode isyarat badan manusia (bio-signal) dari beberapa anggota badan seperti isyarat otak, isyarat dari otot, isyarat dari denyutan jantung dan kulit manusia.

Malah, kaedah ini juga lebih tepat berbanding dengan metode kajian lain yang hanya bergantung kepada ekspresi muka sahaja memandangkan manusia berupaya menyembunyikan riak wajah sebenar.

Kajian telah dijalankan ke atas 60 orang responden di dalam makmal menerusi peralatan audio untuk mengenal pasti ciri-ciri emosi dan perasaan manusia melalui sistem tersebut.

“Antara kaedah yang dicadangkan untuk diaplikasikan di dalam kenderaan adalah kaedah pengkongduksian deria kulit (skin conducting sensor) melalui stereng kereta serta kaedah pengesanan kadar denyutan jantung (ECG) yang mungkin boleh dipasang di bahagian tali pinggang keledar atau kerusi pemandu,” jelasnya.

Sistem ini juga melihat perkaitan antara keadaan persekitaran ketika pemanduan dengan emosi manusia. Malah, beliau turut menerangkan parameter yang digunakan bagi mengukur keadaan persekitaran.

“Kita merancang untuk merekod persekitaran jalan raya ketika itu semasa percubaan sistem ini dilakukan. Misalnya, adakah jalan raya itu sesak atau lenggang? Waktu perjalanan pemanduan itu berlaku, iaitu adakah pada waktu pagi atau malam? Bagaimana keadaan cuaca dan suhu pada waktu itu? Adakah hujan atau panas terik?”,

Beliau juga membuat hipotesis awal bahawa cuaca yang panas atau keadaan jalan raya yang sesak mudah merangsang emosi negatif manusia seperti marah.

Bercakap tentang perancangan mengkomersialkan sistem pengesanan emosi ini, beliau menyatakan projek tersebut kini berada di peringkat kajian pembangunan model pengesanan emosi dan masih dalam proses untuk dipatenkan pada peringkat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Jika permohonan mematenkan projek ini diluluskan barulah saya mula menyempurnakan dan mengimplementasikan sistem yang mengambil masa selama setahun atau dua sebelum bersedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat automotif,” tambahnya.

Sumbangan teknologi sistem pengesanan emosi

Dr. Sawal percaya projek ini mampu mengurangkan sikap atau emosi negatif pemandu sekaligus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang meningkat semenjak 10 tahun kebelakangan ini.

Beliau juga yakin ia dapat membantu mengubah tingkah laku negatif segelintir pemandu supaya berhemah ketika di jalan raya.

Beliau juga melihat potensi projek ini yang mungkin dapat membantu pihak berkuasa membuat penyiasatan melibatkan kemalangan jalan raya.

“Rata-rata kemalangan yang berpunca daripada pemandu akhirnya disimpulkan sebagai sikap pemandu cuai, terburu-buru, atau mengantuk. Namun, apa sebenarnya yang benar-benar berlaku sebelum kemalangan terjadi? Apakah sebenarnya emosi atau perasaan pemandu sebelum itu?

“Dengan adanya data-data yang diperoleh daripada kotak hitam kenderaan pemandu, sistem dapat memberi bukti yang kukuh kepada pihak penyiasatan,” jelasnya.

Sistem yang dibina ini juga akan memudahkan syarikat insurans mengenal pasti sikap pelanggan mereka di jalan raya.

Tambahnya lagi, kedua-dua pihak mendapat faedahnya daripada sistem. Misalnya, pemandu yang berhemah di jalan raya diberikan insentif oleh pihak insurans.

“Syarikat juga memperoleh keuntungan kerana tidak perlu membayar insurans kepada pemandu tersebut memandangkan kebarangkalian untuk pemandu tersebut terlibat kemalangan yang berpunca daripada sikap agresif adalah rendah. Ganjaran ini dapat menggalakkan masyarakat untuk memandu dan bersikap baik di jalan raya,” jelasnya.


masyarakat-perlu-ambil-berat-penjagaan-suara

Masyarakat Perlu Ambil Berat Penjagaan Suara




Oleh Salleh Sulieman


Foto Fakulti Perubatan

Tidak dinafikan suara ialah salah satu anugerah terpenting dalam kehidupan seharian. Bagi sesetengah golongan, suara adalah aset yang mempengaruhi kerjaya apatah lagi ia juga mampu mengundang pelbagai persepsi dan reaksi ramai.

Seringkali beberapa golongan seperti penyanyi, pembaca berita, pengacara, pensyarah, dan guru dianggap sebagai pengguna suara profesional. Mereka memerlukan bantuan tenaga profesional samada untuk mencegah, merawat, dan melakukan terapi pada suara.

Walau bagaimanapun, masyarakat secara umum juga tidak terkecuali dan perlu mengambil berat tentang penjagaan suara. Mereka boleh mendapatkan bantuan daripada tenaga profesional seperti pakar laringologi, pakar terapi suara, atau jurulatih suara.

Menurut Timbalan Dekan (Jaringan dan Alumni) Fakulti Perubatan UKM Prof. Dr. Marina Baki, penjagaan suara perlu diberi perhatian serius tanpa mengira golongan.

Beliau berkata sedemikian semasa Rakaman Laryngeal Karaoke Oleh Penyanyi Tanahair Sempena Hari Suara Sedunia dengan tema Lift Your Voice di Hospital Canselor Tuanku Muhris (HCTM). Hari Suara Sedunia disambut pada 16 April setiap tahun dan bertujuan memberi kesedaran tentang potensi penggunaan suara.

“Masyarakat perlu tahu menjaga suara serta mendapatkan sokongan yang boleh membantu mengatasi masalah suara dan meningkatkan potensi suara.

“Pemeriksaan suara dilakukan dengan memasukkan kamera endoskopi ke dalam tekak melalui hidung. Struktur peti suara akan dapat dilihat dengan jelas. Proses endoskopi ini juga tidak menyakitkan,” jelasnya.

Beliau menunjukkan contoh pelajar lelaki berusia 17 tahun yang mengidapi penyakit puberfonia.

“Setelah menjalani pemeriksaan, didapati tiada masalah pada peti suaranya. Kes pelajar ini dirujuk kepada Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa (Speech-Language Therapists) untuk rawatan selanjutnya. Selepas sesi terapi, suara pelajar itu mula menunjukkan perubahan,” katanya.

Rakaman Laryngeal Karaoke itu turut dihadiri oleh penyanyi terkemuka iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Hael Husaini, Misha Omar, Rico SOG, dan Idayu. Mereka diundang untuk menyanyi dalam keadaan pergerakan peti suara mereka dirakam oleh pakar Laringologi dari HCTM.

Rakaman ini membolehkan masyarakat memahami keadaan peti suara dan struktur sekitarnya bergerak semasa menghasilkan nada lagu tertentu.

Penyanyi terkemuka, Datuk Syafinaz Selamat juga sempat berkongsi tip nyanyian.

“Pada saya, seorang penyanyi perlu menggunakan teknik nyanyian yang betul dan selamat agar suara boleh digunakan secara berpanjangan. Kita tak nak menyanyi semasa muda sahaja dan bila dah tua kita tidak boleh sampai ke nada tinggi atau rendah. Kita juga tak boleh nak kawal suara lagi.

Tambahnya, antara yang perlu dielakkan oleh penyanyi ialah merokok, mengambil minuman keras, dan menjauhi dadah.

1 2 3 8