dana-wakaf-ilmu-ukm-dapat-sambutan-staf

Dana Wakaf Ilmu UKM Dapat Sambutan Staf




Oleh Asmahanim Amir


Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 15 Mac 2022 – Dana Wakaf Ilmu UKM (DWIUKM) mencipta rekod tersendiri dengan mencatat jumlah 1,500 kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membuat potongan gaji untuk tabung berkenaan.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, bermula pada Januari 2022, fasa pertama program DWIUKM ini memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada waris pencarum.

“Saya berharap pelaksanaan program ini dapat menarik minat lebih ramai staf UKM untuk membuat potongan gaji wakaf.

“Selain pahala yang berterusan, inisiatif ini juga adalah untuk kebaikan waris keluarga staf,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa merasmikan Bulan Wakaf Wanita, Program Lindung Kasih dan Wacana Wakaf 2022, di sini.

Katanya, Yayasan Canselor juga akan melancarkan Program Lindung Kasih iaitu sebuah program menghargai komitmen sumbangan yang diberikan kepada staf untuk pembangunan wakaf di UKM dengan menyediakan skim kebajikan kepada staf UKM yang membuat potongan gaji secara bulanan untuk DWIUKM.

“Untuk makluman, sebanyak 40 peratus daripada penggunaan hibbah pelaburan DWIUKM diperuntukkan bagi tujuan kebajikan pelajar dan staf UKM. Oleh itu, sempena sambutan Bulan Wakaf Wanita UKM ini, saya juga menyeru agar kita semua menyumbang kepada UKM khususnya kepada DWIUKM.

“Selain menghulurkan sumbangan tunai, terdapat banyak inisiatif lain yang boleh digunakan untuk membantu orang ramai,” katanya.

Lebih menarik lagi, katanya, bagi sesiapa yang mempunyai emas lusuh, gold bar, atau emas tersimpan yang ingin diwakafkan, kaunter Wakaf Emas akan dibuka dan transaksi boleh dilakukan di kaunter tersebut, atau boleh berhubung terus dengan pihak Yayasan Canselor untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Sempena sambutan ini, pelbagai program telah dirancang bagi menyemarakkan lagi Bulan Wakaf Wanita UKM, dan pada masa yang sama memberi kesedaran mengenai kepentingan wakaf, dan menggalakkan warga UKM untuk mewakafkan harta benda yang bermanfaat untuk kemaslahatan warga UKM.


ukm-terajui-kajian-obesiti-dan-penyakit-tidak-berjangkit-bersama-university-of-oxford

UKM Terajui Kajian Obesiti dan Penyakit Tidak Berjangkit bersama University of Oxford




Oleh UMBI UKM

BANGI, 24 Mac 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan universiti pertama Malaysia yang menerajui kajian pengimejan melalui DXA berskala besar di peringkat antarabangsa.

Penyelidikan yang dijalankan bersama University of Oxford, United Kingdom (UK) ini menyasarkan bidang kajian obesiti dan penyakit tidak berjangkit yang semakin berleluasa di Malaysia dan di seluruh dunia.

Penyelidikan dengan tajuk Obesiti dan penyakit tidak berjangkit di Malaysia: Kajian pengimejan terhadap 6,000 orang dewasa dalam Kajian Kohort Malaysia diketuai bersama oleh Prof Sarah Lewington dari Nuffield Department of Population Health, University of Oxford dan Prof Madya Dr Nor Azian Abdul Murad, daripada Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) dengan dana penyelidikan berjumlah RM994,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek The Malaysian Cohort (TMC) yang telah dimulakan oleh UMBI pada tahun 2006, serupa dengan projek UK Biobank yang bermula pada tahun 2005. UMBI dan University of Oxford adalah antara pemegang taruh utama, masing-masing bagi projek TMC dan UK Biobank.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata buat masa ini, tiada kajian pengimejan melalui DXA mahupun MRI berskala besar di Malaysia untuk pengukuran langsung lemak badan bagi membolehkan penyelidik memahami hubungan antara komposisi badan dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung.

Oleh itu, katanya, kajian tersebut bertujuan untuk memahami perkaitan obesiti dalam menyebabkan penyakit diabetis dan penyakit jantung (CVD).

“Selain itu, perbandingan antara kepelbagaian kumpulan etnik di Malaysia dan di UK juga dapat dilakukan. Kaedah baharu seperti DXA dan MRI dapat digunakan bagi mengesahkan instrumen konvensional BMI (body mass indeks) atau pun dikenali sebagai indeks jisim tubuh,” katanya.

Beliau berkata dalam kajian itu, UMBI akan melakukan 6,000 pengimejan DXA serta 100 pengimejan MRI (dengam kerjasama bersama Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan, UKM dan University of Westminster, UK) bagi menilai komposisi badan dalam kalangan peserta The Malaysian Cohort (TMC).

“Kolaborasi penyelidikan ini membolehkan perpindahan teknologi terutamanya kaedah analisis data yang dilakukan antara kedua-dua pihak,” jelasnya.

Katanya, kerjasama penyelidikan ini dapat memberi impak yang besar kepada sistem kesihatan di Malaysia terutamanya dalam pembangunan dan penggunaan BMI baharu yang bersesuaian dengan populasi Asia khususnya penduduk di Malaysia.

“Buat masa ini, BMI yang digunapakai adalah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diklasifikasikan mengikut: BMI< 18.5 (kurang berat badan), BMI 18.5 – 25 (normal), BMI 25 – 30 (lebihan berat badan) dan BMI >30 (obesiti), yang berdasarkan populasi Caucasian.

“Oleh itu, adalah penting untuk menentukan apakah julat normal bagi lebihan lemak badan daripada setiap kumpulan etnik di Malaysia agar julat yang lebih tepat dapat diperkenalkan.

“Penggunaan klasifikasi yang tepat adalah penting untuk intervensi berkesan bagi membendung peningkatan kesan berkaitan obesiti seperti penyakit diabetes jenis II dan juga penyakit jantung,” katanya.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata projek itu juga berpotensi meningkatkan kerjasama bersama industri terutamanya dalam mengenalpasti kaedah rawatan terbaik yang melibatkan penyakit jarang jumpa yang spesifik bagi obesiti seperti kekurangan Proopiomelanocortin (POMC), kekurangan reseptor leptin (LEPR), bardet-Biedl Syndrome (BBS), Alstrom syndrom, dan Prader-Willi syndrome.

“Kajian lanjutan berkait genetik boleh dilakukan bagi mengenalpasti variasi penyebab dan pelindung bagi obesity.

“Banyak lagi projek kolaborasi penyelidikan yang sedang dirancang bersama University of Oxford. Usaha ini sejajar dengan agenda pengantarabangsaan UKM khususnya perkongsian pintar dengan universiti tersohor di dunia.

“Perancangan projek UKM Health Technopolis juga meletakkan jaringan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan teknologi sebagai pemacu penyelidikan asas dan translasi,” katanya.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan yang mengetuai lawatan kerja UKM ke United Kingdom pada 17 Mac lepas telah melawat Big Data Institute, Nuffield Department of Population Health, University of Oxford bagi melonjakkan kolaborasi antarabangsa.

Antara perbincangan dua hala yang melibatkan kedua-dua universiti itu ialah kerjasama dan kolaborasi yang lebih erat dalam bidang kepakaran, penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran pelajar, pengajaran dan geran penyelidikan antarabangsa.

UKM sedang bergerak ke arah penubuhan Health Technopolis, dan penglibatan Big Data dan Digital Health adalah bidang penting bersama rakan startegik seperti University of Oxford.


ukm-tidak-kompromi-mutu-khidmat

UKM Tidak Kompromi Mutu Khidmat




Oleh Salleh Sulieman


Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Mac 2022- Naik taraf Bahagian Keselamatan UKM kepada Polis Bantuan UKM dan pembelian kenderaan baharu universiti dijangka memberi wajah baru pada mutu perkhidmatan UKM.

Perkara tersebut diulas oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dalam ucapannya semasa Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2022, baru-baru ini.

Menurutnya, bahagian Keselamatan UKM akan dinaik taraf kepada Polis Bantuan UKM demi meningkatkan mutu perkhidmatan keselamatan kampus UKM yang mencakupi kampus Bangi, Cheras, dan Kuala Lumpur.

Tambahnya, program naik taraf ini akan menyaksikan pemerkasaan ekosistem keselamatan dalam kampus UKM yang lebih selamat, lestari dan sejahtera.

“Seramai empat orang pegawai dan 200 orang anggota Keselamatan UKM akan menyertai latihan berperingkat Polis Bantuan selama tiga bulan dan latihan ini akan dikendalikan oleh pihak SUKSIS UKM bermula pada bulan Mei 2022,” katanya semasa Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2022 baru-baru ini.

Sementara itu, UKMShape juga menghulurkan sumbangan sebanyak RM450,000.00 kepada Bahagian Keselamatan UKM bagi pembelian beberapa buah kenderaan untuk kegunaan seluruh warga dan pelajar UKM.

Kenderaan ini akan digunakan dengan pelbagai tujuan seperti program dan aktiviti rasmi universiti selain akan digunakan oleh Bahagian Keselamatan UKM.

Sumbangan itu diserahkan oleh Pengarah UKMShape Prof. Datuk’ Dr. Muhammad Hussin kepada Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan.

baju-korporat-&-kad-kampus-baharu-serlah-citra-ukm

Baju Korporat & Kad Kampus Baharu Serlah Citra UKM




Oleh Salleh Sulieman


Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Mac 2022- Pelancaran baju korporat dan kad kampus baharu UKM semasa Bicara Perdana Naib Canselor 2022- Mara UKM baru-baru ini mampu menyerlahkan citra UKM pada mata masyarakat.

Citra watan diterap dengan jelas sekali dalam rekaan baju korporat baharu dengan kombinasi logo UKM dan dominasi warna biru sebagai warna tradisi UKM.

Lebih menarik, motif songket merah yang menjadi identiti UKM sejak sekian lama turut dimuatkan pada bahagian dalam kolar baju.

Rekaan baju korporat ini juga mengekalkan potongan moden dan kontemporari dan sesuai dengan cita rasa penggemar fesyen semasa.

Selain itu, fabrik yang lembut dan tidak panas memberikan keselesaan pada pemakai.

Pemakai juga tidak perlu risau kerana baju korporat baharu ini ditawarkan dengan pelbagai saiz dan pilihan lengan pendek atau panjang bagi lelaki dan perempuan serta boleh dilipat.

Semasa pelancaran, Naib Canselor UKM Prof. YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman turut menggayakan baju korporat baharu yang ditayangkan kepada warga UKM buat julung kali bersama tiga lagi model.

Dalam pada itu, seluruh warga dan pelajar UKM berpeluang mendapatkan kad kampus baharu tidak lama lagi.

Pengumuman pemenang kad kampus baharu dibuat setelah pertandingan Mencipta Reka Bentuk Kad Kampus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar UKM mendapat sambutan hebat daripada warga UKM sekitar Februari lalu.

Sentuhan kreatif pereka iaitu Encik Meor Sony Hermi dari Pusat Teknologi Maklumat yang mneggabungkan tiga warna UKM yang diadun dengan motif songket telah berjaya menawan hati panel yang memilih rekaan beliau sebagai pemenang.


ukm-tumpu-revolusi-industri-4.0

UKM Tumpu Revolusi Industri 4.0




Oleh Murniati Abu Karim


Foto Izwan Azman

BANGI, 9 MAC 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) amat mengalu-alukan penyelidikan antara IPT yang menjurus kepada revolusi industri 4.0, kata Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab.

Beliau berkata sedemikian semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UKM melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dengan UOW Malaysia KDU University College, baru-baru ini.

Katanya, menerusi jalinan ini pihak UKM akan memberikan kerjasama dalam penggunaan alat dan kemudahan makmal untuk kegunaan bersama bagi rakan-rakan dari UOW Malaysia KDU University College.  

“Seperti saranan dari pihak Menteri Pengajian Tinggi, institusi pendidikan perlu mewujudkan konsep institusi yang fleksibel, namun memberi akses kepada sistem pendidikan dan penyelidikan secara holistik kepada para pelajar dan ahli akademiknya.

“Saranan ini hanya boleh dicapai dengan adanya kerjasama antara IPT di Malaysia dengan semangat untuk meletakkan pendidikan negara pada tahap yang tinggi di peta akademik dunia.

“Selain penyelidikan, aktiviti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti penerbitan akademik antara dua universiti dan seterusnya menghasilkan kajian dari penyelidik tempatan ke standard antarabanga yang diiktiraf dunia

Beliau juga berharap jalinan kerjasama ini juga dapat membuka peluang mobiliti pelajar dalam membantu memperluaskan jaringan dan pertukaran pengalaman yang bakal menggalakkan kemahiran interpersonal pelajar seperti kemahiran pergaulan, komunikasi, keyakinan diri dan bersikap lebih terbuka.