klinik-fisioterapi-fsk-sedia-pelbagai-khidmat-untuk-komuniti

Klinik Fisioterapi FSK Sedia Pelbagai Khidmat untuk Komuniti




Oleh Murniati Abu Karim


Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 10 MAC 2022 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Klinik Fisioterapi bagi tujuan pengajaran, latihan klinikal serta menyediakan perkhidmatan kepada komuniti setempat.

Klinik Fisioterapi yang berada di bawah Program Fisioterapi ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak di UKM kampus Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, Klinik Fisioterapi tersebut merupakan klinik pelbagai fungsi yang memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan UKM serta komuniti awam.

“Fungsi utama sebagai klinik pengajaran di mana pelajar mendapat latihan klinikal dengan seliaan pegawai fisioterapi dan pensyarah.

“Klinik ini juga menjadi kelas atau makmal untuk pelajar menjalani latihan kemahiran atau skill clinic bagi memperkukuhkan kemahiran yang telah diajar secara teori, di samping berfungsi sebagai tempat penyelidikan di mana pelajar menjadikan pesakit sebagai subjek untuk penyelidikan mereka.

“Selain itu, klinik ini juga menawarkan perkhidmatan bukan sahaja kepada kakitangan, malah kepada komuniti setempat dalam meningkatkan pemulihan dan kesejahteraan masyarakat.

“Kepelbagaian fungsi klinik ini menunjukkan bahawa Program Fisioterapi telah menyahut aspirasi universiti dalam memperkasakan nilai utama UKM, TERAS, yang menjadi lembayung untuk UKM terus mencapai kecemerlangan,” katanya.

Dalam ucapannya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad turut menekankan kepentingan peranan fisioterapi dalam membantu pesakit Covid-19 dari segi proses perawatan dan pemulihan.

“Bermula dari di hospital hinggalah setelah discaj, pesakit perlu berjumpa dengan ahli fisioterapi.

“Pesakit perlu belajar teknik pernafasan yang betul untuk mengembangkan paru-paru atau melancarkan pernafasan, cara batuk yang berkesan untuk mengeluarkan kahak, senaman yang bersesuaian bagi mengembalikan fungsi, tenaga dan stamina,” tambahnya.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti. Hadir sama, Dekan Fakulti Sains Kesihatan Prof. Suzana Shahar dan Ketua Program Fisioterapi Dr. Asfarina Zanudin.


pemula@ukm-buka-peluang-keusahawanan-berteraskan-teknologi

PEMULA@UKM Buka Peluang Keusahawanan Berteraskan Teknologi




Oleh Murniati Abu Karim


Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 MAC 2022 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik prakarsa Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha merancakkan ekosistem keusahawanan yang berteraskan teknologi dengan membangunkan Program Syarikat Pemula (Start-Up) atau PEMULA@UKM.

PEMULA@UKM dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman di Akademia Siber Teknopolis hari ini.

Dato’ Seri Abdul Razak berkata universiti menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan graduan yang dihasilkan berkemahiran tinggi dan kompetitif dalam bidang akademik serta mempunyai nilai tambah dengan ilmu keusahawanan yang tinggi.

“Menerusi Program PEMULA@UKM ini, warga UKM akan diberi kebenaran untuk menubuhkan syarikat pemula yang berteraskan teknologi serta bimbingan yang komprehensif akan diberikan bagi memastikan syarikat-syarikat pemula ini menjadi sebuah syarikat yang kukuh dan berdaya saing.

“Program ini pastinya akan mengubah lanskap aktiviti pengkomersialan berteraskan teknologi di UKM dengan pelaksanaan polisi dan pelan strategik yang dibangunkan dengan teliti sejak tahun 2019.

“UKM, sebagai sebuah institusi akademik dan penyelidikan yang bertaraf global akan berperanan bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja profesional dan warga akademik yang prolifik bahkan turut memainkan peranan perdana dalam menjana peluang pekerjaan yang mampan menerusi aktiviti keusahawan berteraskan teknologi,” katanya.

Turut berlangsung pada majlis yang sama adalah perasmian Akademia Siber Teknopolis, pelancaran Geran Translasi UKM dan penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Strategik Produk Inovasi UKM.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata UKM menjangkakan kerjasama antara warga akademik dengan pelajar akan mampu menubuhkan sebuah syarikat pemula yang berdaya saing di Malaysia dan antarabangsa.

“PEMULA@UKM akan beroperasi sepenuhnya di bangunan Akademia Siber Teknopolis. Proses reka bentuk bangunan ini memberi tumpuan khusus bagi menyediakan prasarana yang kondusif dalam melaksanakan penyelidikan, pembangunan serta inovasi yang dapat memberi impak kepada masyarakat, industri, agensi kerajaan dan negara.

“Geran Penyelidikan Translasi yang ditawarkan juga menjadi pemangkin kepada para penyelidik untuk menggerakkan penyelidikan yang berkeupayaan menterjemahkan output seperti pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk, pendaftaran harta intelek, dan penghasilan kertas polisi yang menjadi penyelesaian kepada permasalahan negara, industri, dan komuniti,” katanya.

Tambah beliau, seramai 24 orang penyelidik telah berjaya membida Geran Penyelidikan Translasi pada fasa pertama dengan tema penyelidikan yang menyokong Cabaran Perdana Negara dan COVID-19.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM), Pusat IDEA UKM, Insitut IR 4.0 dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, merangkap Pengerusi UKM Technology Sdn. Bhd. Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengarah INOVASI@UKM, merangkap Penyelaras Induk Program PEMULA@UKM, Prof. Madya Dr Wan Mohd Hirwani Wan Hussain.

naib-canselor-ukm-puji-jelajah-kembara-watan

Naib Canselor UKM Puji Jelajah Kembara Watan




Oleh Asmahanim Amir


Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Mac 2022 Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ehwan Toriman memuji Siri Jelajah Kembara Watan UKM yang berjaya meraih RM27,000 daripada 36 alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata sumbangan itu disalurkan ke Tabung Dana Wakaf Khas Alumni yang merupakan salah satu projek signature Pusat Perhubungan Alumni.

“Jutaan terima kasih kepada semua alumni yang sudi menerima kunjungan UKMBikers dari 16 Mac 2022 sehingga 21 Mac 2022 dan seterusnya menyumbang kepada Tabung Dana Wakaf Khas Alumni.

“Sumbangan ini kita akan gunakan untuk pengembangan aktiviti alumni UKM termasuk untuk pembinaan Kompleks Alumni UKM tidak lama lagi,” katanya.

Menurut beliau, pasukan UKMBikers yang menyertai kembara itu telah berpecah kepada dua kumpulan dan telah bergerak ke tujuh negeri iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

Katanya, selain menyantuni para alumni UKM, pasukan UKMBikers melalui Pusat Perhubungan Alumni turut memberi sumbangan sebanyak RM500 kepada enam pelajar UKM yang terkesan akibat musibah banjir.

“Mudah-mudahan dengan terlaksananya program ini, ia dapat membudayakan ukhuwah dalam kalangan alumni dan warga UKM serta mampu menjadi pemangkin kepada penganjur program di luar sana untuk bersama-sama menggunakan pelbagai keunikan platform tersendiri dalam meraikan alumni, pelajar dan masyarakat,” katanya.

Beliau juga berharap agar program komuniti dan khidmat masyarakat itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan agenda yang akan lebih memberi manfaat kepada masyarakat umum dan golongan sasar.

Program Kembara Watan UKM 2022 itu adalah penganjuran bersama antara Pusat Perhubungan Alumni, Kelab Ukhuwah Kembara Malaysia (UKMBikers), Pusat Hal-Ehwal Pelajar, Pusat Pengajian Citra Universiti, Pusat Transformasi, Universiti-Komuniti dan Pusat Komunikasi Korporat.


ukm-serah-wang-zakat-kepada-kampung-angkat

UKM Serah Wang Zakat kepada Kampung Angkat




Oleh Salleh Sulieman


Foto Shahiddan Saidi

Bangi, 17 Mac 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyerahkan sumbangan wang zakat kepada golongan asnaf di kampung angkat UKM dalam usaha meringankan beban yang dihadapi oleh penduduk semasa pandemik Covid- 19 dan bencana banjir yang berlaku.

Kedua-dua kampung angkat yang terlibat ialah Kg. Kg. Pulau Manis, Pekan, Pahang dan Kg. Baru, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Datuk Dr. Rokiah Haji Omar, sebelum ini, Majlis Penyerahan Wang Zakat UKM telah berjaya dilaksanakan di Kg. Orang Asli Sg. Buah, Dengkil, Selangor yang melibatkan seramai 29 penduduk.

“Seterusnya kami berjaya melaksanakan majlis ini di Kg. Pulau Manis, Pekan, Pahang yang melibatkan seramai 61 penduduk dan di Kg. Baru, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu yang melibatkan 129 penduduk.

“Majlis ini juga adalah platform untuk memperkukuhkan kerjasama antara UKM dengan masyarakat sekitar dalam menggalakkan perkongsian pengetahuan, pengalaman serta pendedahan kepada mereka,” katanya.

Majlis ini adalah anjuran bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM dengan Unit Zakat, Pusat Islam UKM serta mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak iaitu pejabat Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pegawai Daerah Pekan, Pahang dan pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dan pejabat Pegawai Daerah, Kuala Nerus, Terengganu.

Sejak Projek 3600 Kampung Angkat UKM dilaksanakan pada 2016, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi mengukuhkan keterlibatan bersama komuniti melalui perkongsian kepakaran dan sumber universiti.

Projek komuniti ini selaras dengan peranan UCTC UKM sebagai ‘one-stop community outreach centre’ yang membawa pelbagai kepakaran dan sumber universiti melalui pengendalian serta pemantauan inisiatif keterlibatan universiti-komuniti.


ukm-kumpul-sumbangan-rm315,536-untuk-bantuan-banjir

UKM Kumpul Sumbangan RM315,536 untuk Bantuan Banjir




Oleh Asmahanim Amir


Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Mac 2022 – UKM berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM315,536 untuk diagihkan kepada kakitangannya yang terlibat dengan musibah banjir pada hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Sumbangan tersebut dikumpul melalui usaha tiga Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Zakat Universiti, Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).

Zakat Universiti berjaya mengumpul sebanyak RM264,600.00, HEP-UKM sebanyak RM43,400.00 dan UCTC dengan jumlah RM4,536.00.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata Pusat Islam melalui Bahagian Zakat telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir dalam kalangan kakitangan dan pelajar antaranya bantuan baik pulih rumah, bantuan kecemasan banjir, bantuan sara hidup, dan bantuan kos kerosakan peralatan asas kepada 143 penerima.

“HEP-UKM mengambil inisiatif untuk menggerakkan Misi Sukarelawan Pasca Banjir UKM dengan kerjasama pelbagai PTj termasuklah UCTC, JPP, PPP, Pusat Islam dan PERTADI UKM.

“Saya amat berbangga sepanjang misi bantuan ini dijalankan, seramai 1,500 orang sukarelawan terdiri daripada kalangan pelajar dan kakitangan UKM telah turun membantu mangsa banjir disekitar kawasan terjejas,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Warga UKM.

Beliau berkata HEP-UKM juga turut menyalurkan sumbangan kewangan kepada 90 orang pelajar yang terkesan banjir, manakala bagi pelajar yang mengalami kerosakan peranti, HEP-UKM mengambil inisiatif memberi bantuan peranti Chromebook kepada pelajar bagi memudahkan sesi pembelajaran.

Menurut beliau, UCTC bersama beberapa PTj lain mengagihkan sumbangan seperti barangan dan peralatan asas kepada seramai 40 orang mangsa banjir dalam kalangan warga UKM yang terkesan.

“Saya berharap lebih banyak lagi sumbangan dapat dilakukan dengan melibatkan lebih banyak PTj memandangkan situasi gelombang baharu banjir yang sedang melanda pantai timur semenanjung negara pada masa kini.

“Semoga usaha murni yang kita lakukan ini, akan dapat diteruskan dan dikenang sebagai salah satu usaha untuk membantu meringankan warga UKM dan masyarakat yang terjejas akibat banjir ini,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan dari Pejabat Naib Canselor, Rozleen Ruslan bersyukur dan berterima kasih kepada warga UKM yang memberi bantuan kewangan kepada keluarganya untuk membaik pulih rumah yang rosak teruk akibat banjir yang melanda Hulu Langat pada Disember tahun lepas.

“Saya memang sangat terharu dan berterima kasih kepada UKM yang membantu saya untuk membaiki rumah tersebut. Saya tinggal di rumah itu bersama mak dan ayah dan mereka sangat gembira dengan bantuan yang diberikan ini.

“UKM adalah universiti yang terkehadapan dalam menyalurkan bantuan kepada warganya yang dilanda musibah,” katanya.

Bagi pelajar Program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Muhammad Hazim Aznor Mohd Azaari, sumbangan komputer riba yang diterimanya adalah sesuatu yang sangat bermakna.

“Bagi saya komputer riba ini ibarat nyawa pelajar, lagi-lagi pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara dalam talian. Saya rasa sangat beruntung kerana terpilih untuk dapat bantuan ini. Saya harap UKM dapat juga bantu pelajar-pelajar lain yang terkesan dengan musibah macam saya,” katanya.