Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
CHERAS, 23 Februari 2022 – Simulasi klinikal atau simulasi perawatan kesihatan menjadi salah satu kaedah utama dalam penyampaian pendidikan perubatan kepada pelajar perubatan sama ada di peringkat prasiswazah ataupun pascasiswazah.
Profesor Perubatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Ismail Mohd Saiboon berkata tujuan simulasi dipraktikkan dalam bidang perubatan adalah untuk mengelakkan risiko keadaan yang sebenar dirasai oleh pesakit.
“Kalau dulu kita menggunakan pesakit yang betul untuk dibuat simulasi, jadi pesakit akan rasa diri dia seperti “tikus makmal”… belajar membuat pembedahan pun di atas pesakit yang betul. Jadi, risiko itu ada.
“Bila kita gunakan kaedah simulasi, kita menggunakan patung simulator sebagai pesakit dan mempraktikkan kaedah-kaedah perubatan pada patung tersebut. Kita tiru keadaan pesakit yang betul menggunakan patung simulator, tetapi bukan dalam keadaan yang sebenar. (menggunakan pesakit),” katanya.
Menurut beliau, di Jabatan Kecemasan sesebuah hospital, merawat pesakit bukan sahaja melibatkan pengetahuan, tetapi perlu juga melibatkan kemahiran (skill) fizikal dan insaniah.
“Pasukan perubatan perlu fikirkan apa tindakan yang perlu dibuat terhadap pesakit dengan pantas. Jadi, dengan adanya simulasi ini, ia menjadi “jambatan” kepada satu kaedah pengajaran perubatan kerana bakal doktor bukan hanya bijak dari segi pengetahuan (knowledge) tapi dia juga mahir dan cekap (skilful and competent).
“Dalam Jabatan Kecemasan ini, doktor adalah first liner dan leader. Kalau silap kita (doktor), silaplah semuanya. Kalau betul kita, maka betullah semuanya. Sebagai barisan hadapan, inilah cabaran besar dan paling utama dalam mendiagnosis pesakit. Disitulah gunanya simulasi agar latihan berulang kali dapat dilakukan agar doktor dapat mendiagnosa dan merawat dengan tepat pada kali pertama” katanya.
Beliau berkata simulasi mempunyai beberapa kaedah iaitu simulasi lakonan-pertuturan (SLT), simulasi lakonan-pelakon (SLP), simulasi simulator tugasan separa, simulasi pesakit elektronik dan simulasi berasaskan skrin atau komputer.
“SLT adalah simulasi yang paling mudah iaitu melibatkan penerangan antara doktor dan pesakit piawai (SP), SLP pula adalah hampir sama dengan SLT, tetapi ia memerlukan “pelakon” untuk melakonkan watak yang diberi untuk mencapai objektif pembelajaran dengan kesan imersif yang lebih baik.
“Simulasi simulator tugasan separa pula adalah menggunakan simulator yang dibina khusus untuk pelajar melakukan tugasan seperti simulasi melakukan latihan intubasi endotrakea pada patung simulator. Simulasi ini adalah simulasi yang paling popular di Malaysia dan di negara-negara yang baru berkecimpung dengan simulasi klinikal,” ujar beliau.
Prof. Dr. Ismail menjelaskan bahawa tidak semua hospital di Malaysia menggunakan kaedah simulasi.
“Kaedah simulasi di Malaysia masih baru. Daripada kajian yang kami buat pada tahun 2019, hanya 92.1 peratus dari sekolah perubatan ada menggunakan some sort of simulation tetapi tidak sangat menggunakan simulasi itu dengan cara yang sepatutnya.
“Penggunakan simulasi mereka lebih kepada teknik pengajaran simulasi (pengajaran asas kaedah simulasi),” katanya.
Beliau berkata ramai yang tidak tahu teknik pengajaran menggunakan kaedah simulasi imersif.
“Simulasi ini adalah untuk mengajar perawat seperti doktor, pembantu perubatan dan jururawat cara merawat pesakit dalam keadaan yang seakan sebenarnya. Ada empat penggunaan penting simulsi dalam bidang perubatan iaitu pengajaran dan pembelajaran, untuk tujuan pengujian (testing), penyelidikan dan membuat pengintegrasian kaedah baru dalam sistem yang sedia ada seperti memperkenalkan SOP baru dalam perawatan pesakit COVID-19 untuk mengelak virus COVID-19 dari terjangkit kepada petugas.
“Latihan simulasi ini boleh diulang banyak kali sehingga kita cekap atau diulang menggunakan beberapa kaedah untuk mendapat keputusan yang terbaik. Bila dilatih berulang kali, pelajar akan cekap dan tidak kekok dalam merawat pesakit,” katanya.
Selepas menggunakan simulasi, katanya kaedah refleksi berpandu atau debriefing menggunakan teknik DeBRIEF akan digunakan bagi membolehkan para pengajar untuk bertanyakan perkara penting dengan menggunakan kad isyarat.
“Kaedah DeBRIEF iaitu defuse & delineate (meredakan dan menggariskan), bring back (mengimbau kembali), review (mengupas dan mengkaji semula), in-depth discussion (perbincangan mendalam) dan future use (penggunaan di masa hadapan) dicipta hasil daripada kajian saya yang mendapati kesukaran untuk para pengajar di Malaysia melakukan refleksi-berpandu dengan menggunakan teknik yang diketengahkan di barat,” katanya.
Kesimpulannya, kata Prof. Dr. Ismail, perubatan kecemasan sangat memerlukan tenaga mahir yang benar-benar terlatih untuk mengendalikan kes-kes kecemasan dengan cekap dan teratur.
“Menyedari akan hakikat ini, sekolah perubatan di serata dunia berlumba-lumba membina infrastruktur mereka untuk mendapatkan pembelajaran berasakan simulasi,” katanya