sudut-isra-ukm,-ruang-sehenti-pelbagai-bidang-kewangan-islam

Sudut ISRA UKM, Ruang Sehenti Pelbagai Bidang Kewangan Islam




Oleh Asmahanim Amir


Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Januari 2022 – Sudut ISRA yang dibangunkan di Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi ruang yang menghimpunkan bahan-bahan akademik dalam bidang ekonomi Islam, muamalat, dan ekonomi halal termasuk bidang perbankan dan kewangan Islam.

Sudut ini adalah ruangan sehenti yang menyediakan buku, jurnal, kertas penyelidikan, sumber kewangan Islam, dan komputer yang menyediakan akses percuma kepada platform ISRA I-FIKR untuk tujuan memperkayakan sumber pengetahuan dalam ekonomi dan kewangan Islam di UKM.

Ruang tersebut dapat digunakan sebagai medium penyampaian ilmu ekonomi Islam sama ada kepada warga UKM mahupun masyarakat luar UKM.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata inisiatif mewujudkan sudut ISRA di ruangan PTSL terhasil apabila International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) yang merupakan antara entiti utama di bawah International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) membantu menaja sudut tersebut melalui penajaan penuh oleh CIMB Islamic kepada INCEIF.

“Kerjasama yang terjalin erat semenjak beberapa tahun yang lepas bersama Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam (EKONIS), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM diharap dapat terus diperhebatkan setelah wujudnya Sudut ISRA ini, khususnya dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

“UKM amat berterima kasih kepada pihak CIMB Islamic dan INCEIF yang telah banyak membantu dalam semua aspek khususnya dalam proses memperkasakan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan UKM.

“Semoga jalinan kerjasama yang terjalin ini dapat terus digiatkan dengan lebih aktif melalui program intelektual dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sudut ISRA, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Akademik & Dekan INCEIF, Prof. Dr. Mansor H. Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank, Encik Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Prof. Dato’ Dr. Norazah berharap agar jaringan tersebut akan dapat melahirkan modal insan yang tinggi nilainya dalam usaha membentuk peningkatan taraf kepimpinan penyelidik dan graduan yang kompeten.

“Saya juga berharap dapatan dari jaringan ini dapat disebarluaskan kepada pelbagai pihak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Penubuhan Sudut ISRA akan dapat memperkasakan lagi peranan PTSL UKM sebagai pusat sumber pelbagai bidang ilmu.

Inisiatif ini akan dibuat dalam pelbagai bentuk termasuklah berkongsi pengetahuan mengenai institusi kewangan Islam dan mengembangkan pengetahuan ekonomi Islam kepada komuniti universiti, membantu dan memperkayakan koleksi buku ekonomi dan kewangan Islam di perpustakaan dan pusat sumber, dan mempromosikan buku, makalah penyelidikan dan artikel dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam yang dihasilkan oleh warga UKM.


pameran-seni-tasik-chini-papar-keindahan-alam

Pameran Seni Tasik Chini Papar Keindahan Alam




Oleh Asmahanim Amir


Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Januari 2022 – Pameran Gumum Ism International Art Camp @ Tasik Chini yang diadakan baru-baru ini menghimpun dan memaparkan hasil seni penggiat seni tanah air dan antarabangsa tentang keindahan alam semula jadi Tasik Chini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata hasil-hasil karya yang berkonsepkan alam sekitar itu dipamerkan dan dipersembahkan kepada khalayak ramai bagi memupuk kesedaran mengenai alam sekitar terutamanya Tasik Chini.

“Pameran seni ini adalah salah satu platform bagi penggiat-penggiat seni menempa nama bagi mempromosikan hasil karya mereka.

“Justeru, saya percaya pameran ini akan dapat memaparkan keindahan alam semula jadi dan dalam masa yang sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi yang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pameran Gumum Ism International Art Camp @ Tasik Chini, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun jaraknya agak jauh (kedudukan Tasik Chini), tetapi beliau yakin ia dapat menunjukkan kehebatan dan keindahan alam di Tasik Chini melalui hasil seni yang dilakar oleh penggiat seni.

“Ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi peranan PPTC (Pusat Penyelidikan Tasik Chini) sebagai duta Tasik Chini, bukan sahaja dalam bidang penyelidikan, bahkan juga dalam bidang multi-disiplin, iaitu yang melibatkan pelbagai bidang lapangan bagi mengetengahkan Tasik Chini yang merupakan salah satu khazanah negara yang perlu dipelihara untuk generasi yang akan datang,” katanya.

“Saya amat berbangga dengan usaha dan kerjasama ini. Syabas dan tahniah kepada PPTC, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Muzium Warisan Akademik UKM dan semua yang terlibat dengan program ini.

Pameran Gumum Ism International Art Camp @ Tasik Chini adalah anjuran bersama antara PPTC, FST, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Muzium Warisan Akademik UKM, Tourism Pahang, Silence Art Group Kuantan (SILA) dan Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA).


kerjasama-ukm-gsb-dengan-institusi-perbankan-bantu-pelajar-dapatkan-pembiayaan-pelajaran

Kerjasama UKM-GSB dengan Institusi Perbankan Bantu Pelajar Dapatkan Pembiayaan Pelajaran




Oleh Asmahanim Amir


Foto oleh Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 26 Januari 2022 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) menjalankan kolaborasi dengan beberapa institusi perbankan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan perkhidmatan yang disediakan untuk pelajar yang menyambung pengajian tinggi di UKM.

Kerjasama itu adalah melibatkan syarikat-syarikat perbankan Malaysia seperti Malayan Banking Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Affin Bank Berhad, Bank Muamalat Berhad dan Alliance Bank Berhad.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama yang terjalin itu akan memberikan kemudahan pembiayaan pengajian di UKM-GSB bagi program-program pascasiswazah perniagaan seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Falsafah Kedoktoran dan Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan.

“Pakej pembiayaan ini adalah berbeza dari bentuk pinjaman peribadi, dan pelbagai model bayaran semula disediakan bergantung kepada bank yang dipilih.

“Pelajar yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan pengajian hendaklah mendaftar dan mendapat surat tawaran GSB terlebih dahulu sebelum memohon kemudahan daripada bank yang dipilih,” katanya.

Sementara itu, UKM-GSB turut melancarkan logo baharu GSB yang menjadi penyuntik semangat warga fakulti. Selain itu, GSB turut melancarkan 13 buah buku ilmiah hasil nukilan pensyarah-pensyarah GSB.

Pelancaran logo baharu dan buku-buku tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside Hotel, di sini, semalam.

Buku-buku itu terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran seperti pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan dan pengurusan pemasaran.

Majlis ringkas yang meraikan tiga objektif utama itu diharapkan dapat meningkatkan lagi semangat GSB dalam usaha menjadi sebuah pusat pengajian pascasiswazah perniagaan.bertaraf dunia.


ipt-perlu-lebih-agresif-lahirkan-graduan-berkualiti-tinggi-–-dato’-sri-mustafa

IPT Perlu Lebih Agresif Lahirkan Graduan Berkualiti Tinggi – Dato’ Sri Mustafa




Oleh Asmahanim Amir


Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 26 Januari 2022 – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi, selain menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata dalam tempoh 18 tahun iaitu dari tahun 2002 hingga 2020, bilangan graduan IPT telah bertambah sebanyak 15 peratus iaitu daripada 221,000 kepada 255,000.

“Ini menunjukkan IPT telah berjaya menghasilkan graduan yang memenuhi pelbagai permintaan pasaran atau keperluan bakat oleh industri yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu Pusat Pengajian Siswazah Perniagan (UKM-GSB), di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Katanya, beliau bersyukur kerana kualiti pendidikan tinggi di Malaysia bertambah baik dengan kedudukan QS World University Rankings (QS WUR) 2022 mencatatkan sebuah IPTA berjaya menduduki 100 tangga teratas dunia manakala empat IPTA yang lain berada dalam kalangan 200 universiti terbaik, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada di tangga 144.

Dato’ Sri Mustapa berkata walaupun itu (QSWUR) adalah pencapaian yang bagus, tetapi setiap IPT perlu meningkatkan usaha dalam menghasilkan graduan bertaraf global yang mampu bersaing dengan graduan-graduan daripada universiti ternama di seluruh dunia.

Katanya pelaburan dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi amat penting untuk menyokong pertumbuhan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penghasilan buku-buku ilmiah yang dihasilkan oleh penulis dari UKM-GSB bukan sahaja membuktikan kewibawaan penulisnya, sebaliknya boleh dijadikan sumber rujukan kepada ahli akademik dan kumpulan profesional dan pentadbiran.

“Syabas saya ucapkan kepada semua penulis buku dan semoga terus berjaya dalam menghasilkan buku-buku yang menjadi sumber rujukan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata dengan pelancaran logo baharu itu, beliau yakin akan ada perubahan baru yang dilakukan bukan sahaja pada logo tetapi juga dari segi menyuntik semangat warga UKM-GSB untuk mencapai visi, misi dan matlamat usaha memacu pusat ini ke arah yang lebih cemerlang.


pembukaan-permohonan-penyelidik-pasca-doktoral-menggunakan-dana-modal-insan-fasa-1/2022

Pembukaan Permohonan Penyelidik Pasca Doktoral Menggunakan Dana Modal Insan Fasa 1/2022

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membuka permohonan Penyelidik Pasca Doktoral menggunakan Dana Modal Insan bagi fasa pertama tahun 2022 yang terbuka kepada calon warganegara dan bukan warganegara.

Bersama – sama ini disampaikan beberapa dokumen berkaitan untuk makluman dan rujukan YBhg. Datuk / Dato’ / Prof. / Tuan / Puan.

  1. a) Lampiran A – Dasar Penyelidik Pasca Doktoral (Pindaan 2021) : https://bit.ly/3gxNR3b
  2. b) Lampiran B – Borang Permohonan / Pelanjutan Penyelidik Pasca Doktoral (Kuat kuasa : 1 Januari 2022) : https://bit.ly/3sy1nJF
  3. c) Lampiran C – Jadual Kerja Permohonan Penyelidik Pasca Doktoral : https://bit.ly/3oFqCZs

Justeru, Borang yang telah lengkap diisi boleh dimajukan kepada CRIM sebelum atau pada 28 Februari 2022. Penyelidik dimohon agar dapat mengemukakan permohonan yang telah lengkap kepada CRIM mengikut prosedur sedia ada (salinan keras) sama ada secara serahan tangan atau melalui pos.

Sukacita juga pihak kami memohon kerjasama YBhg. Prof. Ulung / Datuk / Dato’ / Prof. / Tuan / Puan agar dapat memaklumkan kepada ahli Fakulti / Institut / Pusat masing – masing.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Puan Nur Izyani Ahamad Azahari melalui No. Telefon : 03 – 8921 5112 atau emel : nurizyani@ukm.edu.my.