Dana Wakaf Ilmu UKM Dapat Sambutan Staf

dana-wakaf-ilmu-ukm-dapat-sambutan-staf

Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 15 Mac 2022 – Dana Wakaf Ilmu UKM (DWIUKM) mencipta rekod tersendiri dengan mencatat jumlah 1,500 kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membuat potongan gaji untuk tabung berkenaan.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, bermula pada Januari 2022, fasa pertama program DWIUKM ini memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada waris pencarum.

“Saya berharap pelaksanaan program ini dapat menarik minat lebih ramai staf UKM untuk membuat potongan gaji wakaf.

“Selain pahala yang berterusan, inisiatif ini juga adalah untuk kebaikan waris keluarga staf,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa merasmikan Bulan Wakaf Wanita, Program Lindung Kasih dan Wacana Wakaf 2022, di sini.

Katanya, Yayasan Canselor juga akan melancarkan Program Lindung Kasih iaitu sebuah program menghargai komitmen sumbangan yang diberikan kepada staf untuk pembangunan wakaf di UKM dengan menyediakan skim kebajikan kepada staf UKM yang membuat potongan gaji secara bulanan untuk DWIUKM.

“Untuk makluman, sebanyak 40 peratus daripada penggunaan hibbah pelaburan DWIUKM diperuntukkan bagi tujuan kebajikan pelajar dan staf UKM. Oleh itu, sempena sambutan Bulan Wakaf Wanita UKM ini, saya juga menyeru agar kita semua menyumbang kepada UKM khususnya kepada DWIUKM.

“Selain menghulurkan sumbangan tunai, terdapat banyak inisiatif lain yang boleh digunakan untuk membantu orang ramai,” katanya.

Lebih menarik lagi, katanya, bagi sesiapa yang mempunyai emas lusuh, gold bar, atau emas tersimpan yang ingin diwakafkan, kaunter Wakaf Emas akan dibuka dan transaksi boleh dilakukan di kaunter tersebut, atau boleh berhubung terus dengan pihak Yayasan Canselor untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Sempena sambutan ini, pelbagai program telah dirancang bagi menyemarakkan lagi Bulan Wakaf Wanita UKM, dan pada masa yang sama memberi kesedaran mengenai kepentingan wakaf, dan menggalakkan warga UKM untuk mewakafkan harta benda yang bermanfaat untuk kemaslahatan warga UKM.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

*