Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 23 Mac 2022 – Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ehwan Toriman memuji Siri Jelajah Kembara Watan UKM yang berjaya meraih RM27,000 daripada 36 alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau berkata sumbangan itu disalurkan ke Tabung Dana Wakaf Khas Alumni yang merupakan salah satu projek signature Pusat Perhubungan Alumni.
“Jutaan terima kasih kepada semua alumni yang sudi menerima kunjungan UKMBikers dari 16 Mac 2022 sehingga 21 Mac 2022 dan seterusnya menyumbang kepada Tabung Dana Wakaf Khas Alumni.
“Sumbangan ini kita akan gunakan untuk pengembangan aktiviti alumni UKM termasuk untuk pembinaan Kompleks Alumni UKM tidak lama lagi,” katanya.
Menurut beliau, pasukan UKMBikers yang menyertai kembara itu telah berpecah kepada dua kumpulan dan telah bergerak ke tujuh negeri iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Katanya, selain menyantuni para alumni UKM, pasukan UKMBikers melalui Pusat Perhubungan Alumni turut memberi sumbangan sebanyak RM500 kepada enam pelajar UKM yang terkesan akibat musibah banjir.
“Mudah-mudahan dengan terlaksananya program ini, ia dapat membudayakan ukhuwah dalam kalangan alumni dan warga UKM serta mampu menjadi pemangkin kepada penganjur program di luar sana untuk bersama-sama menggunakan pelbagai keunikan platform tersendiri dalam meraikan alumni, pelajar dan masyarakat,” katanya.
Beliau juga berharap agar program komuniti dan khidmat masyarakat itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan agenda yang akan lebih memberi manfaat kepada masyarakat umum dan golongan sasar.
Program Kembara Watan UKM 2022 itu adalah penganjuran bersama antara Pusat Perhubungan Alumni, Kelab Ukhuwah Kembara Malaysia (UKMBikers), Pusat Hal-Ehwal Pelajar, Pusat Pengajian Citra Universiti, Pusat Transformasi, Universiti-Komuniti dan Pusat Komunikasi Korporat.