Pameran Seni Tasik Chini Papar Keindahan Alam

pameran-seni-tasik-chini-papar-keindahan-alam




Oleh Asmahanim Amir


Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Januari 2022 – Pameran Gumum Ism International Art Camp @ Tasik Chini yang diadakan baru-baru ini menghimpun dan memaparkan hasil seni penggiat seni tanah air dan antarabangsa tentang keindahan alam semula jadi Tasik Chini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata hasil-hasil karya yang berkonsepkan alam sekitar itu dipamerkan dan dipersembahkan kepada khalayak ramai bagi memupuk kesedaran mengenai alam sekitar terutamanya Tasik Chini.

“Pameran seni ini adalah salah satu platform bagi penggiat-penggiat seni menempa nama bagi mempromosikan hasil karya mereka.

“Justeru, saya percaya pameran ini akan dapat memaparkan keindahan alam semula jadi dan dalam masa yang sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi yang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pameran Gumum Ism International Art Camp @ Tasik Chini, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun jaraknya agak jauh (kedudukan Tasik Chini), tetapi beliau yakin ia dapat menunjukkan kehebatan dan keindahan alam di Tasik Chini melalui hasil seni yang dilakar oleh penggiat seni.

“Ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi peranan PPTC (Pusat Penyelidikan Tasik Chini) sebagai duta Tasik Chini, bukan sahaja dalam bidang penyelidikan, bahkan juga dalam bidang multi-disiplin, iaitu yang melibatkan pelbagai bidang lapangan bagi mengetengahkan Tasik Chini yang merupakan salah satu khazanah negara yang perlu dipelihara untuk generasi yang akan datang,” katanya.

“Saya amat berbangga dengan usaha dan kerjasama ini. Syabas dan tahniah kepada PPTC, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Muzium Warisan Akademik UKM dan semua yang terlibat dengan program ini.

Pameran Gumum Ism International Art Camp @ Tasik Chini adalah anjuran bersama antara PPTC, FST, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Muzium Warisan Akademik UKM, Tourism Pahang, Silence Art Group Kuantan (SILA) dan Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA).


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

*