Pelan Strategik T.E.R.A.S (2021-2025)


Dengan pelantikan YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1 Januari 2021, UKM terus diperkasakan dan dimantapkan dengan lima (5) nilai T.E.R.A.S, lima (5) Kebitaraan dan 25 Prakarsa bagi menyokong dua (2) agenda utama universiti. Ia telah dilancarkan oleh Naib Canselor pada 10 Jun 2021 yang menjadi asas kepada Pelan Strategik T.E.R.A.S UKM 2021-2025. Nilai T.E.R.A.S juga menjadi tonggak kepada iltizam warga UKM ke arah menjayakan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), New Deals KPT, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025, Fokus 6 Strategik KPT dan Pelan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (SEJAHTERA IPT).

Lembayung T.E.R.A.S menjelaskan tentang nilai dan prinsip yang menjadi tunjang kepada perancangan serta pelaksanaan tanggungjawab warga UKM. Nilai dan prinsip ini harus ada dalam semua kebitaraan dan prakarsa UKM yang kemudiannya menjadi asas kepada perancangan strategik, pembinaan gerak kerja dan penentuan Indeks Pencapaian Utama atau KPI. Lembayung T.E.R.A.S UKM terdiri daripada lima (5) nilai utama, iaitu Bakat (Talent), Etika (Ethics), Memperkasa (Revitalise), Tangkas (Agile) dan Jiwa (Soul) yang berfungsi sebagai gagasan kepada pembangunan universiti.

Pernyataan Bakat menjelaskan tentang hasrat untuk mencungkil, memantapkan dan mengembangkan potensi diri ke arah kecemerlangan. Potensi ini melibatkan corak pemikiran, perasaan atau tingkah laku yang berulang yang dapat diterapkan secara produktif. Bakat tidak dipelajari melainkan sifat semula jadi yang dapat dikembangkan melalui pengetahuan, pengalaman dan kemahiran.

Etika menekankan perlaksanaan tanggungjawab dengan kesungguhan dan keikhlasan berasaskan keimanan dan moral. Warga UKM berkewajipan memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilakunya. Etika menjadi pentaakulan moral yang melibatkan pemikiran dan pertimbangan secara bebas.

Memperkasakan melibatkan pengukuhan fungsi, tanggungjawab, kemahiran dan jaringan dalam usaha untuk memperkembangkan potensi. Ia menjadikan seseorang itu hebat dan unggul dalam sesuatu tugasan atau bidang yang diceburi.

Tangkas menekankan keupayaan terkehadapan dan bersiap siaga dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan. Warga UKM yang tangkas adalah warga yang cepat, cergas dan pantas disertai dengan semangat yang tinggi. Jiwa pula melibatkan warga UKM mempunyai jati diri kebangsaan, bersemangat dan beriltizam untuk membangunkan universiti, masyarakat dan negara. Jiwa bererti benih kehidupan manusia yang meliputi pemikiran, keperibadian dan sinonim dengan roh dan akal.

Pemangkin bagi kelima nilai ini adalah elemen kebitaraan kepada T.E.R.A.S iaitu Watan, i-Minda, Holistik, Digital dan Prihatin. Kebitaraan ini akan menjadi asas kepada semua Pusat Tanggungjawab (PTj) untuk merangka strategi dan gerak kerja berdasarkan prakarsa yang dirangka. Cakupan di bawah kebitaraan Watan terdiri daripada lima (5) prakarsa iaitu penghayatan Falsafah Universiti, pemerkasaan bahasa Melayu, pemuliharaan Warisan Budaya, pengukuhan Jati Diri dan pemupukan semangat Patriotik. Kebitaraan i-Minda meliputi prakarsa Advokasi, Inovasi, Ekosistem, Nilai dan Mutu dan Translasi. Liputan Holistik pula merangkumi prakarsa Keusahawanan, Kreatif, Kepimpinan, Kerjaya, dan Nilai Murni. Aspek kebitaraan seterusnya iaitu Digital terdiri daripada prakarsa Infra dan Info, Pedagogi dan Ekologi Pembelajaran, Pembudayaan Digital, Kelestarian dan Governans. Kebitaraan terakhir iaitu Prihatin meliputi prakarsa S.I.H.A.T, Perpaduan, Kebajikan, Kemasyarakatan dan Mesra OKU.

Pautan Muat Turun: