Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
CHERAS, 1 April 2022 – Rancangan iDoktor yang menampilkan beberapa pakar perubatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mengisahkan kehidupan sebenar tugas dan cabaran seorang doktor yang bertugas di hospital.
Rancangan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi di saluran TV Okey RTM tersebut akan memaparkan gambaran jelas kepada masyarakat tentang tugas-tugas dan cabaran doktor mengikut bidang disiplin perubatan dalam mengendalikan sesuatu kes atau pesakit di hospital.
Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata penglibatan doktor-doktor di HCTM dalam rancangan iDoktor itu menjadi salah satu platform bagi pengembangan ilmu, bakat dan kemahiran kakitangan UKM dan HCTM dalam peningkatan kerjaya bidang penerbitan tv.
“Doktor pakar ini akan bertindak sebagai “vehicle” atau pembawa jalan cerita bagi sesebuah episod. Rancangan ini juga akan memaparkan pergerakan visual berkonsepkan dokumentari majalah berbentuk realiti rutin pakar beserta kumpulan pasukan perubatan bagi setiap disiplin perubatan di HCTM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan Syarikat Taiping Broadcast System Sdn. Bhd., di sini.
Prof. Dato’ Dr. Norazah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat atas kerjasama yang diberikan dalam menghasilkan rancangan televisyen tersebut.
“Kesemua ini dirangkumkan dan diterjemahkan melalui kepakaran penerbitan oleh kakitangan UKM dan HCTM yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang penerbitan. Ini termasuklah dari segi idea, konsep, skrip, kandungan kreatif, kumpulan produksi, dan pengarahan rancangan tv.
“Namun semua perancangan ini tidak akan terlaksana tanpa adanya bantuan daripada Syarikat Taiping Broadcast System Sdn. Bhd. yang berpengalaman dan berpengetahuan dari segi krew penggambaran, suntingan, kesan khas dan grafik bagi memastikan program iDoktor ini berkualiti tinggi dan mengikut piawaian stesen televisyen di Malaysia.
“Saya juga rasa berbesar hati dengan kerjasama ini kerana melalui peluang sebegini ia boleh menjadi salah satu platform bagi pengembangan ilmu, bakat dan kemahiran kakitangan UKM dan HCTM dalam peningkatan kerjaya bidang penerbitan tv,” katanya.
Rancangan iDoktor yang bakal disiarkan sebanyak 13 episod itu mampu memberi manfaat kepada masyarakat tentang kehebatan dan kemampuan anak tempatan khususnya pakar-pakar di HCTM dalam bersaing dengan kepakaran luar negara untuk memberi perawatan yang terbaik kepada masyarakat.
Rancangan itu akan disertakan dengan paparan informasi mengenai sesuatu penyakit dari segi punca, pencegahan, perubatan dan keupayaan teknologi perubatan yang ada di Malaysia.