Projek penyelidikan CAISER (Computer Assisted Intelligent Event Processor) yang bermula pada tahun 2011 melalui penyelidikan Doktor Falsafah (PhD) oleh Prof Madya Dr Mohamad Hanif Saad kini telah merentasi Dubai.
Sistem pintar paling kompleks yang telah dibangunkan menggunakan platform CAISER adalah Sistem Pemantauan dan Notifikasi Rangkaian yang digunakan oleh unit ICT Perbadanan Putrajaya. CAISER adalah teknologi platform yang membolehkan penciptaan sistem pintar menggunakan pendekatan Pemprosesan Peristiwa Kompleks (Complex Event Processing, CEP). CAISER memiliki tiga kategori komponen utama di dalam platformnya iaitu komponen penyesuaian pemerolehan data dari persekitaran, komponen pengesan dan pemproses peritiwa serta komponen penyesuai perlaksanaan tindakan mitigasi. Diantara contoh-contoh penyesuai yang telah dibangunkan adalah penyesuai robot pengawasan, penyesuai CCTV pintar, penyesuai Unit Terminal Jauh (Remote Terminal Unit, RTU; digunakan untuk memperoleh data dari lapangan), penyesuaian antara muka Pengawal Logic Bolehatur (Programmable Logic Controller, PLC), penyesuaian komunikasi melalui Telegram dan banyak lagi. Sebagai contoh, beberapa buah blok penyesuai CCTV pintar boleh digabungkan bersama blok penyesuaian Telegram serta pemproses peristiwa CAISER untuk membangunkan sistem pengawasan pintar yang mampu mengesan kelakuan manusia dalam persekitaran dan menghantar notifikasi melalui Telegram bagi peristiwa yang bersifat anomali seperti pergerakan individu mundar-mandir dihadapan pejabat pada jam 12 tengah malam.