yayasan-petronas-sumbang-rm6.14-juta-kepada-ukm-bangunkan-penyelidikan-terapi-kanser-kanak-kanak

Oleh Murniati Abu Karim

Foto Hospital Canselor Tuanku Muhriz

CHERAS, 18 Februari 2022 – Yayasan Petronas menyumbangkan RM6.14 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan kajian ‘Initiative for Precision Medicine in Paediatric Cancer Therapy (IMPACT): Improving Survival and Minimising Late Effects’ dalam usaha meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK).

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat) UKM, Prof Dato’ Dr Norazah Mohd Nordin berkata, terdapat kira-kira 800 kes baharu kanak-kanak didiagnosis dengan penyakit kanser di Malaysia dan angka ini dijangka akan terus meningkat.

“Terdapat beberapa isu kritikal yang menyumbang kepada situasi ini termasuklah kekangan aplikasi teknik terkini dalam memantau saki-baki sel kanser dalam tubuh pesakit; pemprofilan molekul setiap kanser melalui penjujukan genom; serta pengabaian rawatan kontemporari termasuk penggunaan rawatan tradisional.

“Isu-isu ini akan mengakibatkan kesan yang berterusan jika keupayaan perkhidmatan dan pemantauan kanser tidak ditambahbaik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Petronas dan UKM, di sini.

Menurutnya, projek yang diketuai oleh Prof Datuk Dr A. Rahman A. Jamal dari Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) ini bakal dilaksanakan melalui naik taraf fasiliti makmal, pemindahan teknologi terkini dan latihan lanjutan bagi kakitangan di pusat yang berfasiliti lengkap dan menyeluruh.

Projek ini juga akan menggunakan analisis big data bagi memahami kanser biologi dan mengenalpasti rawatan sasaran dengan membangunkan protokol rawatan kanser kanak-kanak yang lebih baik dan lebih bersasar, tambahnya.

“Saya berharap dalam tempoh terdekat, projek penyelidikan ini dapat meningkatkan penjanaan ilmu baharu dalam biologi kanser dan menambahbaik keupayaan perkhidmatan makmal hematopatologi bagi pengesanan saki-baki penyakit leukemia selepas rawatan kemoterapi diberikan.

“Ini akan dapat dilaksanakan dengan meningkatkan pengetahuan, sikap dan persepsi ibu bapa terhadap kepentingan keputusan rawatan yang diterima dan pematuhan kepada rawatan.

“Bagi kesan jangka masa panjang, kita berharap dapat mencapai 20-30% peningkatan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser kanak-kanak dan menjadikan makmal di HPKK dan UMBI sebagai pusat rujukan kebangsaan serta berakreditasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata jika dibandingkan dengan kanser dalam kalangan dewasa, secara statistiknya, kanser kanak-kanak adalah lebih sukar untuk dikesan.

“Memahami kesan daripada penyakit ini dan kebolehupayaan kita dalam menanganinya adalah titik tolak yang menggerakkan kami untuk sama-sama menyumbang demi masa depan kanak-kanak yang terkesan.

“Dengan sumbangan Yayasan Petronas kepada penyelidikan ini, kami berharap dapat sama-sama berganding bahu memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan hidup pesakit pediatrik di negara ini terutamanya kanak-kanak dari keluarga B40,” katanya.