Penyelidikan tersebut ternyata mampu mentransformasikan kilang minyak sawit lebih lestari dan mesra alam dengan mengambil kira kesan jangka panjang pada masa akan datang.

Dengan itu, tiada lagi longgokan sisa kilang sawit yang boleh memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar kerana bahan buangan tersebut akhirnya diproses dan dirawat menjadi sumber semula jadi yang baharu.

PROF IR. DR. MOHD. SOBRI (kiri) memberikan penerangan pada sidang media di Loji Rintis Teknologi Sisa Sifar Kilang Kelapa Sawit Tennamaram, di Bestari Jaya.

Malah, penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sisa sifar ini yang mendapat sokongan penuh Sime Darby dengan suntikan dana berjumlah RM2.16 juta dan jurutera mereka, bakal menjadi perintis dalam membentuk sebuah loji mesra alam.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Ir Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata, penglibatan pihak industri secara langsung dalam pembangunan lestari teknologi sisa sifar amat penting bagi memastikan ia terus relevan dan memenuhi keperluan masa kini.

“Loji rintis ini adalah kesinambungan daripada aktiviti R&D yang berjaya dilaksanakan di makmal UKM dengan memfokuskan kepada beberapa bidang teras strategik bagi penghasilan tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Pembangunan teknologi sisa sifar ini juga membuktikan betapa pentingnya kerjasama erat di antara industri dan universiti dalam usaha untuk menjadikan industri sawit tempatan mesra alam,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa sesi lawatan ke tapak Loji Rintis Teknologi Sisa Sifar, Kilang Sawit Tennamaram, Batang Berjuntai, Selangor baru-baru ini.

Katanya, kejayaan penyelidik UKM dan YSD itu wajar diberikan penghormatan kerana bukan semua pihak mampu memikirkan penyelesaian yang paling bernas dalam menyelesaikan masalah sisa buangan industri sawit hingga menjejaskan alam sekitar.

Mana tidaknya, segala sisa pembuangan ini berjaya ditransformasikan kepada sumber boleh diperbaharui yang boleh digunakan pada kemudian hari misalnya segala sisa sabut daripada sisa sawit telah dijadikan baja organik yang dapat digunakan bagi aktiviti pertanian.

Menurut Abdul Wahab lagi, industri sawit kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan tohmahan negatif sehingga mendesak industri untuk menghentikan pengeluaran minyak sawit dengan prosesnya tidak lestari dan mesra alam.

“Walau bagaimanapun, perkara ini dapat disangkal dengan hasil penyelidikan oleh UKM dan Yayasan Sime Darby yang berjaya membuktikan bahawa teknologi sisa sifar ini mampu menjadikan industri sawit di negara kita mesra alam.

“Kerjasama UKM dan Yayasan Sime Darby dapat menyampaikan maklumat yang tepat mengenai pembangunan industri sawit yang mampan kepada rakyat Malaysia bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan propaganda serta tanggapan negatif pihak tidak bertanggungjawab yang memburukkan industri ini,” katanya.

Menurut beliau, mikroalga turut digunakan sebagai satu kaedah rawatan air di samping turut menjerap karbon dioksida yang dihasilkan.

Kaedah itu katanya, dapat membantu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang merupakan salah satu gas rumah hijau.

“Beberapa spesies mikroalga tempatan berjaya dikenal pasti yang dapat membantu proses ini,” ujarnya lagi.

https://www.utusan.com.my/sains-teknologi/alam-sekitar/teknologi-sisa-sifar-1.961930

Sumber: Utusan Malaysia

29 Ogos 2019