PUSAT PEMBANGUNAN KARIER UKM / UKM CAREER ADVANCEMENT CENTRE

 MARA_GEUKM

APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA KERJA DAN KERJAYA?

Untuk menjadi seorang pekerja yang berjaya, anda harus fahami perbezaan di antara kerja dan kerjaya. Setiap manusia mempunyai kemahiran masing-masing.

Ada yang mengaplikasikan kemahiran yang diperolehi dengan meminta kerja yang menawarkan mereka jawatan yang sepadan dengan kelebihan mereka. Ada juga yang masih meneruskan kerja walaupun mereka tidak begitu berminat dengan pekerjaan yang dilakukan.

Perkara terbaik bagi seorang pekerja ialah melakukan pekerjaan yang mereka minati tanpa ada perasaan terpaksa. Jika keadaanya begitu, mereka akan bekerja dalam keadaan tertekan dan tidak selesa.

5 PERBEZAAN ANTARA KERJA & KERJAYA

1. KEBANYAKAN KERJA MEMBOSANKAN

Apabila anda bekerja untuk sesuatu yang anda tidak suka, anda akan banyak menghabiskan masa melihat jam, menghitung detik waktu yang berjalan sehinggalah tamat waktu kerja anda. Satu perbezaan yang amat ketara apabila anda bekerja dalam bidang yang anda betul-betul minati.

Apabila anda meluangkan masa untuk mengerjakan apa yang anda betul-betul mahir, anda akan tidak sedar seakan waktu berjalan dengan begitu pantas. Disebabkan ianya adalah sesuatu yang anda minati, anda akan cuba untuk meningkatkan prestasi diri dan syarikat.

Perbezaan di antara kerja dan kerjaya, kerja membuatkan anda merasa cepat bosan dan selalu rasa mengantuk. Manakala, kerjaya memberikan anda rasa bahagia sehingga segala pekerjaan anda akan terhasil dengan sempurna dan sepenuh hati.

 

2. UNTUK JANGKA MASA YANG PANJANG

Pernahkah anda bertanya dengan diri anda, adakah anda bekerja untuk jangka masa yang singkat atau untuk jangka masa yang lama?

Jika anda memilih untuk bekerja dalam jangka masa yang panjang, anda akan memikirkan tentang banyak hal. Di mana ianya akan memberi kesan di masa akan datang. Anda perlu merancang dan fikirkan bagaimana kemahiran dan minat yang anda ada akan membantu syarikat serta diri anda untuk maju ke hadapan.

Perbezaan di antara kerja dan kerjaya ialah apabila anda hanya bekerja untuk jangka masa yang singkat, motivasi untuk menghasilkan kerja yang bagus sukar untuk diperolehi sepenuhnya. Akan tetapi, ia akan menjadi lebih baik jika anda mempunyai rancangan untuk menyambung pekerjaan anda untuk jangka masa yang panjang apabila anda sudah selesa dengan pekerjaan yang anda lakukan.

 

3. MENAMBAH PENGALAMAN

Perbezaan di antara kerja dan kerjaya ialah orang yang mementingkan kerjaya tidak akan menghiraukan tentang wang, sebaliknya mereka mementingkan pengalaman yang mereka boleh dapati daripada pekerja-pekerja yang lebih berpengalaman.

Mereka bersedia untuk mempelajari benda-benda baharu untuk mempertingkatkan prestasi kerja mereka. Tetapi, jika anda seorang yang bekerja hanya untuk menambahkan wang bulanan, anda adalah di antara orang-orang yang rugi. Ini kerana, walaupun anda seorang pekerja yang bagus, ilmu anda hanya akan berada di tahap yang sama. Berbanding dengan orang yang selalu bertukar-tukar ilmu dengan rakan sekerja yang lain.

Sifat rajin bertanya ini akan membantu mereka dalam memperbaiki dan meningkatkan kemahiran mereka dalam melakukan pekerjaan mereka di hari-hari mendatang.

 

4. MONDAY BLUES

Ahh pagi isnin. Pastinya bukan hari yang paling digemari oleh semua orang, tapi tidak kepada para pekerja yang menyukai kerja yang dilakukan oleh mereka. Apabila anda melakukan kerja yang memang kena dengan minat anda, anda akan merasa teruja untuk memulakan kerja pada setiap pagi dan menjadikan minggu anda produktif dan lebih efektif.

Berbeza apabila anda hanya sekadar kerja tapi tidak menyukai pekerjaan yang anda lakukan, anda akan merasakan cuti hujung minggu anda tidak mencukupi dan anda paling malas untuk memulakan hari setiap kali pagi isnin tiba.

 

5. TINGKATKAN PRESTASI DIRI

Apabila anda berada dalam situasi kerja yang tidak anda sukai, anda akan banyak meluangkan masa dengan mencari peluang untuk menukar kerja baru. Job hunting sebenarnya amat memenatkan dan susah untuk didapati dalam masa yang singkat.

Jika anda mencari kerja baru sedangkan anda masih bekerja di syarikat lama, anda pasti akan mencuri masa ketika kerja untuk mencari jawatan-jawatan kosong di syarikat lain, dimana ianya adalah satu perbuatan yang tidak bagus. Berbeza apabila anda berada dalam satu organisasi yang anda sukai, anda akan menghabiskan masa dan tenaga dalam membangunkan reputasi diri anda, membina lebih banyak rangkaian, dan mempunyai matlamat yang kukuh untuk memperbaguskan kemahiran yang anda ada.

Apa yang anda lihat melalui perbezaan di antara kerja dan kerjaya itu tidak menjadi satu masalah. Akan tetapi, admin sarankan anda semua untuk meneliti dan fahami diri anda sendiri dahulu dan cari dimana sebenarnya kemahiran diri anda terletak. Anda tidak perlu memaksa diri anda sendiri untuk melakukan sesuatu yang tidak anda gemari. Ingatlah bahawa hidup ini hanya sekali, jangan pernah sia-siakannya selagi jantung anda masih berdegup.

 

SELAMAT MAJU JAYA!

SUMBER:

http://jobkartel.com/perbezaan-di-antara-kerja-dan-kerjaya/

 

Disediakan oleh:

 

Puan Suhaila Kamaruddin