PUSAT PEMBANGUNAN KARIER UKM / UKM CAREER ADVANCEMENT CENTRE

 MARA_GEUKM

Kempen Jimatkan Air, Elektrik Fokus Utama Gotong-Royong UKM-Karier 2024

Bangi, 19 September 2024 – Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier) telah menganjurkan Gotong-Royong UKM-Karier 2024 dengan fokus utama pada kempen penjimatan air dan elektrik sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar.

Program yang diadakan di premis UKM-Karier ini melibatkan penyertaan staf, sukarelawan, dan pelajar dalam aktiviti gotong-royong bagi memastikan persekitaran pejabat yang lebih bersih, teratur, dan mesra alam. Salah satu inisiatif utama ialah penempatan pelekat peringatan penjimatan air dan elektrik di lokasi strategik seperti paip air, suis lampu, dan penghawa dingin bagi menggalakkan amalan penggunaan sumber secara berhemah.

 

Menurut Pengarah UKM-Karier, Prof. Madya Dr. Salleh Amat, program ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan kawasan kerja, tetapi juga untuk mendidik warga UKM mengenai kepentingan menjimatkan sumber tenaga dalam kehidupan seharian. “Inisiatif kecil seperti mematikan suis lampu apabila tidak digunakan atau memastikan paip air ditutup dengan sempurna boleh memberi impak besar kepada penjimatan tenaga,” katanya.

Melalui inisiatif ini, UKM-Karier berharap dapat memupuk budaya kecekapan tenaga dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan staf dan pelajar, sekali gus menyokong usaha universiti dalam mencapai matlamat kelestarian global.

 

 

Penulis: Cik Nurul Ashikin

September 2024