Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier) telah memperkenalkan MyKARIER, satu ekosistem intervensi berasaskan data yang bertujuan untuk membekalkan pelajar dengan set kemahiran dan kecekapan yang tepat bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dalam pasaran bakat.
Melalui pendekatan strategi berasaskan data, MyKARIER membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar, mengoptimumkan kaedah pengajaran, menggalakkan penglibatan komuniti, dan membangunkan kurikulum yang lebih relevan dengan keperluan industri.

Menurut Pengarah UKM-Karier, Prof. Madya Dr. Salleh Amat, MyKARIER bukan sekadar satu sistem pemprofilan kerjaya biasa, tetapi turut menawarkan bimbingan kerjaya yang diperibadikan bagi membantu pelajar mengenali potensi dan laluan kerjaya mereka. “Sistem ini akan menilai minat dan kebolehsuaian pelajar terhadap kerjaya, membolehkan mereka menerima bimbingan teknikal yang lebih terarah sejak awal pengajian mereka,” katanya.
MyKARIER direka secara teratur dan diperibadikan mengikut tahap kecekapan kendiri pelajar – rendah, sederhana, dan tinggi. Program intervensi ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti kaunseling kerjaya dinamik, sesi bimbingan berkumpulan, pameran kerjaya, temu duga olok-olok, serta sesi ceramah kerjaya yang melibatkan pakar industri dan majikan.
Untuk menilai keberkesanan MyKARIER, ekosistem ini akan dipantau secara berterusan melalui Kajian Pengesanan Graduan peringkat nasional bagi memastikan keberhasilan program serta meningkatkan lagi kesesuaian dan keberkesanan intervensi yang ditawarkan.