Bangi, 16 Oktober 2024. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil telah melancarkan MyKARIER KIT dan Sambutan 10 Tahun Pusat Pembangunan Karier (UKM-KARIER), hari ini.
MyKARIER KIT merupakan sebuah panduan komprehensif yang direka untuk menyokong pembangunan kerjaya pelajar dari tahun pertama hingga ke tamat pengajian. Ia juga menawarkan panduan langkah demi langkah, alat praktikal, dan aktiviti terancang yang membantu pelajar membuat keputusan
kerjaya yang efektif.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren mengucapkan tahniah kepada UKM-Karier kerana memacu kompetensi graduan UKM, sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan universiti sepanjang 10 tahun penubuhannya.
Hadir sama, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud yang menjalankan fungsi Pendaftar; Pengarah UKM-KARIER, Prof. Madya Dr. Salleh Amat; dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.
Maklumat lanjut mengenai MyKarier Kit boleh didapati di https://www.ukm.my/ukmkarier/mykarier-kit/