UKMShape

(Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional)

| Bicara Pengarah

Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMSHAPE)

Universiti Kebangsaan Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tahniah dan syabas diucapkan atas kejayaan saudara/i kerana berjaya dipilih untuk mengikuti program – program fakulti yang dikendalikan oleh UKMSHAPE, UKM. Pemilihan saudara/i untuk meneruskan pengajian di UKM adalah bertepatan sekali memandangkan universiti ini telah mengukir nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dari aspek kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikannya. Kejayaan saudara/i melayakkan diri ke UKM juga menggambarkan kebolehan dan keupayaan saudara/i sendiri kerana tapisan dan syarat kemasukan ke UKM yang sentiasa dipantau dan dipertingkatkan. Sebenarnya, program-program yang dikendalikan oleh UKMSHAPE tidak mempunyai apa-apa perbezaan dengan apa yang ada di dalam kampus UKM kerana persamaan silibus, tenaga akademik dan sijil yang dianugerahkan. UKM sentiasa berusaha memenuhi cita-cita sesiapa sahaja yang ingin menambah ilmu pengetahuan di samping membuka ruang bagi mengembangkan kerjaya pada masa hadapan.

Ini bersesuaian dengan matlamat UKM yang ingin menjadi pusat keilmuan terkehadapan, berteknologi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang yang strategik bagi memenuhi keperluan negara. Penubuhan UKMSHAPE dengan objektif utamanya memberi peluang kedua kepada masyarakat yang bekerja untuk meningkatkan kemahiran dan tahap kelayakan akademik. Kita sedar ekoran terikat dengan pelbagai komitmen terhadap kerjaya dan keluarga, tidak semua orang berkesempatan untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi pada satu-satu masa.

Oleh itu, UKMSHAPE nekad serta bertanggungjawab dalam memainkan peranan penting, bagi menyokong daripada satu teras Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara-Melangkaui Tahun 2020 iaitu untuk ‘Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat’. Langkah proaktif dan usahanya yang gigih mengembangkan laluan alternatif untuk memperoleh ilmu dan meningkatkan penyertaan golongan bekerja senada dengan visi UKM untuk menjadi universiti terulung yang menjadi pelopor inovasi mendahului langkah masyarakat dan zamannya bagi membentuk masyarakat dinamis, berilmu dan berakhlak mulia.

Penawaran pelbagai program fakulti yang berkualiti dengan kos yang kompetitif di bawah kendalian UKMSHAPE memberi ruang dan peluang kepada para eksekutif swasta, pegawai sektor awam, para guru dan golongan yang bekerja amnya untuk melanjutkan pelajaran di sebuah pusat menara gading terkemuka negara tanpa meninggalkan pekerjaan masing-masing.

Akhir kata, saya menyarankan agar saudara/i menuntut ilmu dan menimba pengalaman yang paling bernilai dan berharga sepanjang pegajian di UKM serta menunaikan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah dan dedikasi. Ini termasuklah menjaga nama baik UKM dan menyokong misi dan visinya. Saya bagi pihak warga UKMSHAPE, UKM, Insya Allah akan sentiasa membantu di sepanjang tempoh saudara/i berada di UKM.

Sekian,

SELAMAT MAJU JAYA