Laporan Sijil Profesional Penjujukan Genome 2023

Disediakan oleh : Siti Nur Hasanah Mohd Yusuf & Mohd Raziff Alias

15 September 2023  – UMBI telah berjaya menganjurkan Sijil Profesional Penjujukan Genom untuk kali kedua pada 24 Julai  – 13 September 2023 yang lalu (Semester 1, 2023/2024). Proses pembelajaran secara teori kursus ini diterajui oleh felo penyelidik UMBI yang berkepakaran dalam kaedah penjujukan genom manakala proses amali dan teknikal di makmal dibantu oleh kakitangan perkhidmatan makmal yang berpengalaman luas. Untuk siri kali ini,  seramai 7 orang peserta  telah mendaftar dan berjaya menghadiri program ini sehingga tamat. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai agensi awam dan swasta berdasarkan kehadiran peserta daripada pelbagai agensi (MyGenome Sdn. Bhd., Sunway Medical Centre, Matrioux Sdn. Bhd.,  IMR, UIA, HKL dan HCTM)

Objektif utama penganjuran sijil professional ini adalah untuk memberi pendedahan kepada konsep asas dan aplikasi penjujukan genom dalam bidang penyelidikan terutamanya perubatan. Peserta didedahkan dengan proses kerja penjujukan genom secara amali (hands-on) dan penggunaan aplikasi teknologi penjujukan terkini dan termaju yang ada di UMBI. Di penghujung kursus ini, para peserta turut mempelajari kaedah menganalisis dan mengintepretasi data penjujukan genom untuk aplikasi seterusnya.

Program ini telah berjalan dengan lancar dan menepati sasaran yang ditetapkan serta maklum balas yang positif daripada kesemua peserta. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kerja keras dan komitmen yang tinggi dalam memastikan sijil profesional ini berjalan lancar dan menepati objektif yang direncanakan. Diharapkan penganjuran sijil profesional ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang dan berjaya melahirkan mereka yang berkepakaran dalam bidang penjujukan genom.