Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMBI UKM & Mirxes Pte. Ltd.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Chang Lih Kang menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Mirxes Pte Ltd.

Pertukaran MoU ini disempurnakan oleh Naib Canselor Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman dan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Mirxes, Dr. Zhou Lihan di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiO Showcase 2024).

Kerjasama ini dipacu oleh kepakaran UMBI dalam penyelidikan kanser dan biologi molekul, serta gandingan teknologi miRNA Mirxes bagi membangunkan ujian pengesanan awal kanser kolorektal berasaskan darah di Malaysia.

Melalui MoU ini, spesimen daripada UMBI dan biobank The Malaysian Cohort — biobank terbesar di Asia Tenggara — akan dimanfaatkan untuk mengenal pasti biopenanda bagi ujian pengesanan awal kanser kolorektal yang tepat dan sensitif.

MoU ini juga merangkumi program pertukaran kakitangan dan latihan untuk pemindahan pengetahuan antara UKM dan Mirxes. Ia juga melibatkan penubuhan makmal bersama untuk penyelidikan translasi dan ujian klinikal. Projek ini diketuai oleh Felo Penyelidik Kanan UMBI, Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal.
Disamping itu, Dato Naib canselor berkesempatan melawat reruai UMBI dan Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) yang mempamerkan projek dan kajian semasa di NBiO Showcase 2024.

Hadir sama, Timbalan Menteri MOSTI, Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal; Pengerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), Dato’ Dr. Lee Boon Chye; dan Ketua Setiausaha MOSTI Dato’ Ts Dr. Haji Aminuddin Hassim.
Manakala, turut hadir dari UKM adalah Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid; Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap; Pengarah UMBI, Prof Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad; dan Pengarah INBIOSIS, Prof Dr Syarul Nataqain Baharum.

 

Pautan berkaitan:
1. https://www.facebook.com/UKMOfficial
2. https://www.facebook.com/BioeconomyCorporation