Kenali Risiko-Risiko Kanser Payudara

Ditulis oleh : Andri Dauni

Tarikh :  19 April 2023

INSTITUT BIOLOGI MOLEKUL PERUBATAN UKM

Kenali Risiko-Risiko Kanser Payudara

Kanser payudara adalah sejenis penyakit yang berlaku apabila sel-sel dalam payudara tumbuh di luar kawalan dan boleh merebak serta merosakkan tisu persekitaran [1]. Pada tahun 2020, seramai 2.3 juta wanita  telah dilaporkan menghidap kanser payudara dan sebanyak 685,000 kes  kematian telah berlaku di seluruh dunia [2]. Ia adalah kanser yang paling kerap berlaku di kalangan wanita dihampir setiap negara termasuk Malaysia [3]. Peratusan kes kanser payudara juga telah mengatasi kanser paru-paru sebagai kanser yang paling kerap didiagnosis pada tahun 2020 [4]. Oleh yang demikian adalah amat penting untuk mengetahui risiko-risiko yang boleh menyebabkan kanser payudara untuk pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan. Risiko kanser payudara boleh dibahagikan kepada dua  iaitu risiko tidak boleh diubah suai dan risiko boleh diubah suai.

Risiko Tidak Boleh Diubah Suai

Terdapat beberapa risiko yang boleh diklasifikasikan sebagai risiko tidak boleh diubah suai. Risiko utama yang tidak boleh diubah suai adalah umur. Banyak kajian telah membuktikan bahawa wanita yang berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara berbanding dengan wanita yang belum mencapai umur 50 tahun. Hasil penyelidikan oleh Wu et al. (2014) mendapati bahawa puncak kejadian kanser payudara adalah pada sekitar umur 50-59 tahun dan 85 tahun ke atas [5]. Dalam kajian yang dilakukan di Thailand juga mendapati bahawa kes kanser payudara meningkat pada kadar yang lebih tinggi dalam kalangan wanita berumur 50 tahun ke atas berbanding mereka yang berumur di bawah 50 tahun [6].

Risiko kedua yang tidak boleh diubah suai pula ialah jantina. Kanser payudara boleh berlaku kepada lelaki dan wanita, namun begitu, kanser ini lebih cenderung untuk berlaku dalam kalangan wanita. Wanita adalah 100 kali ganda lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara berbanding lelaki [7]. Hal ini adalah kerana wanita mempunyai sel payudara yang lebih banyak berbanding lelaki dan sel ini sentiasa terdedah kepada kesan penggalak pertumbuhan daripada hormon wanita iaitu estrogen dan progesterone [8].

Risiko kanser payudara tidak boleh diubah suai yang ketiga adalah genetik. Dalam beberapa dekad lepas, kajian-kajian yang dijalankan banyak memberi tumpuan kepada peranan gen dan mutasi dalam perkembangan kanser payudara. Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa mutasi dalam gen BRCA1, BRCA2 dan PALB-2 sangat berkait rapat dengan potensi kejadian kanser payudara. Selain itu, terdapat juga mutasi dalam gen yang boleh mengakibatkan kanser payudara seperti CHEK2,PTEN, CGH1, STK11 dan PALB2 [9].

Sejarah keluarga dan peribadi juga merupakan risiko kanser payudara yang tidak boleh diubah suai. Risiko mendapat kanser payudara adalah lebih tinggi di kalangan wanita yang mempunyai saudara kandung menghidap penyakit ini. Walaupun seseorang itu berisiko untuk mendapat kanser payudara sekiranya terdapat kanser ini dikalangan saudara-mara terdekat (bapa saudara, ibu saudara, atau sepupu) namun, risiko adalah lebih besar sekiranya kanser ini terjadi dikalangan keluarga sendiri iaitu ibu, kakak, adik perempuan atau anak perempuan[10].  Jika salah seorang daripada ahli keluarga (ibu, kakak, adik perempuan atau anak perempuan) menghidap kanser ini, risiko untuk mendapat kanser ini akan menjadi 2 kali ganda. Sebaliknya, jika  terdapat 2 ahli keluarga sendiri yang mempunyai kanser ini, risiko akan menjadi lebih tinggi iaitu meningkat sebanyak 3 kali ganda. Sementara, bagi mereka yang pulih daripada kanser payudara, peluang untuk mendapat kanser di bahagian lain atau bahagian payudara yang lain adalah tiga hingga empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah mendapat kanser sebelum ini [11].

Risiko kanser payudara tidak boleh diubah suai seterusnya ialah bangsa dan etnik. Di negara-negara barat, wanita kulit putih lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara berbanding wanita yang berketurunan Afrika. Walaubagaimanapun, peratusan kematian akibat kanser ini lebih tinggi dikalangan wanita yang berketurunan Afrika. Hal ini kerana, wanita yan berketurunan Afrika lebih cenderung mendapat tumor yang lebih agresif. Manakala, wanita Asia, Hispanik dan orang asli Amerika mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap dan mati akibat kanser payudara [11]. Di negara Asia khususnya di Malaysia pula, kadar kes kanser payudara mengikut piawaian umur adalah tertinggi di kalangan orang Cina, diikuti oleh India dan orang Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang melaporkan bahawa kumpulan etnik Melayu mempunyai kadar survival keseluruhan yang lebih rendah berbanding kumpulan India dan Cina [12].

Kepadatan tisu payudara juga dikategorikan sebagai risiko kanser payudara tidak boleh diubah suai. Wanita yang mempunyai tisu payudara yang lebih padat iaitu mempunyai lebih banyak tisu kelenjar dan kurang tisu lemak (seperti yang dilihat pada mamogram) akan lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara. Tisu payudara yang padat ini juga boleh menyukarkan doktor untuk mengesan kanser melalui imbasan mamogram[13]. Seseorang yang kerap terdedah kepada sinaran radiasi pada bahagian dada juga berisiko untuk mendapat kanser payudara dan risiko ini dianggap sebagai risiko tidak boleh diubah suai. Golongan wanita yang pernah menjalani terapi sinaran di bahagian dada sebagai rawatan untuk kanser lain diawal usia (seperti penyakit Hodgkin atau limfoma bukan Hodgkin) akan lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara. Kadar risiko adalah berbeza mengikut peringkat umur pesakit semasa mereka terdedah dengan radiasi [14].

Tempoh haid juga dikaitkan dengan risiko kanser payudara tidak boleh disuai. Seorang wanita yang mengalami kitaran haid lebih banyak samada disebabkan oleh didatangi haid pada usia awal (sebelum umur 12 tahun) dan/atau menopaus pada usia yang lewat (selepas umur 55 tahun) mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara yang lebih tinggi. Perkara ini mungkin berkaitan dengan tempoh dan pendedahan yang lebih lama dan kerap kepada hormon estrogen dan progesteron[15]. Diethylstilbestrol (DES) adalah estrogen sintetik yang berfungsi  untuk mencegah komplikasi kehamilan. Bukti terkini menunjukkan bahawa pendedahan kepada DES juga dikaitkan dengan kanser payudara dikalangan wanita yang berumur lebih dari 40 tahun [16].

Daripada sumber American Cancer Society (ACS), risiko kanser payudara tidak boleh diubah suai juga dikaitkan dengan kejadian ketumbuhan (benign) pada payudara yang tidak bersifat kanser. Ketumbuhan yang bersifat benign (bukan kanser) ini biasanya berlaku pada wanita dan boleh dikatakan hampir setiap wanita pernah mengalaminya serta tidak mengancam nyawa. Namun demikian, wanita yang pernah mengalaminya lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara di kemudian hari.  Begitu juga dengan kejadian Lobular carcinoma in situ (LCIS) pada payudara, yang mana, wanita yang pernah didiagnosis dengan LCIS klasik akan mempunyai risiko kira-kira 9 hingga 10 kali untuk mendapat kanser payudara daripada populasi umum[17].

Risiko Boleh Diubah Suai

Beberapa risiko kanser payudara yang boleh diubah suai telah dikenalpasti. Antaranya adalah risiko Index Jisim Tubuh (BMI) dan Obesiti. Individu yang mempunyai berat badan dengan BMI diluar julat normal atau obes lebih cenderung mendapat kanser payudara berbanding dengan mereka yang mempunyai berat badan normal [18]. BMI yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko untuk mendapat kanser payudara subjenis luminal dan triple-negatif [19]. Faktor-faktor yang menyumbang kepada sifat agresif tumor juga berkait rapat dengan masalah obesiti dan adipositi pusat yang berlebihan [20]. Diet tinggi lemak dan ketidakaktifan fizikal telah dikenal pasti sebagai punca utama dalam kejadian obesiti dan juga merupakan risiko yang berpotensi untuk menyebabkan kanser payudara. Tisu lemak yang juga dikenali sebagai tisu adipos mampu untuk menghasilkan lebih banyak estrogen iaitu sejenis hormon yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara. Oleh itu, pengurangan dalam pengambilan diet tinggi lemak dan melakukan aktiviti fizikal secara berkala boleh membantu mengurangkan risiko kanser payudara dan kelangsungan hidup. Selain itu, aktiviti fizikal boleh mengurangkan risiko mendapat kanser payudara melalui kesannya pada sistem isyarat insulin/insulin-like growth factor (IGF) [21,22].

Penggunaan alkohol dan tembakau juga adalah risiko yang boleh diubah suai. Kajian tentang hubungan antara alkohol dengan kejadian kanser payudara menunjukkan keputusan yang konsisten iaitu walaupun pengambilan alkohol kurang daripada 10-15 gram sehari, ia masih dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit ini [23]. Menurut laporan terkini daripada Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), alkohol adalah salah satu faktor risiko terbesar untuk kanser payudara. Pada tahun 2020, penggunaan alkohol bertanggungjawab ke atas hampir 40 000 kes kanser payudara baharu di rantau Eropah. Secara ringkasnya, alkohol adalah toksik dan ia membahayakan setiap organ semasa ia melalui badan. Karsinogen atau toksik daripada tembakau pula boleh menyebabkan kerosakan DNA pada sel epitelium susu ibu yang seterusnya mengakibatkan kanser. Wanita yang merokok atau pernah merokok lebih berkemungkinan mendapat kanser payudara berbanding mereka yang tidak atau tidak pernah merokok. Merokok juga meningkatkan peluang untuk mati akibat kanser payudara selepas didiagnosis dan menjadikan kanser lebih berkemungkinan untuk kembali [24].

Risiko boleh diubah suai seterusnya dikaitkan dengan status perkahwinan di mana wanita yang belum berkahwin terutamanya wanita bujang adalah lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara berbanding wanita yang sudah berkahwin. Berdasarkan kajian, wanita nulipara (Nulliparous) atau wanita yang tidak pernah mengandung mempunyai 30% risiko kanser payudara berbanding wanita multipara (multiparous). Ini disebabkan oleh wanita nulipara tidak pernah menyusukan bayi. Wanita yang menyusukan bayi akan mempunyai tahap estrogen dan progesteron di paras kekal rendah semasa aktiviti penyusuan ibu sekaligus mengurangkan pengaruh hormon ini terhadap proliferasi tisu payudara [25,26].

Penyusuan susu ibu dan Terapi penggantian hormon (HRT) juga dikategorikan sebagai faktor risiko boleh diubah suai. Penyusuan ibu mempunyai kesan perlindungan yang paling berkesan terhadap kanser payudara. Tempoh penyusuan adalah berkadar songsang dengan risiko kanser payudara. Selain mengurangkan risiko kanser payudara, susu ibu mempunyai banyak manfaat kesihatan untuk kanak-kanak juga [27]. Selain itu, terapi penggantian hormon (HRT) yang sering digunakan untuk mengurangkan gejala menopaus dipercayai boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Peningkatan risiko kanser payudara adalah dikaitkan dengan penggunaan penyediaan penggantian hormon yang berbeza. Tahap risiko adalah berbeza antara jenis HRT dan risiko adalah lebih tinggi bagi rawatan dalam bentuk gabungan serta tempoh penggunaan yang lebih lama [28].

Melalui pendedahan dan pengetahuan tentang risiko-risiko yang boleh menyebabkan kanser payudara dapat memberikan kesedaran awal dalam mengubah gaya hidup yang sihat antaranya pemilihan makanan sihat, sentiasa bersenam dan kekalkan berat badan yang ideal.

Rujukan:

  1. Centers For Disease Control And Prevention (CDC)
  2. World Health Organisation (WHO)
  3. Cancer Research Malaysia
  4. Sung, H., Ferlay, J., Siegel, R. L., Laversanne, M., Soerjomataram, I., Jemal, A. & Bray, F. 2021. Global cancer statistics 2020: GLOBOCAN estimates of incidence and mortality worldwide for 36 cancers in 185 countries. CA: A Cancer Journal for Clinicians 0(0): 1–41. doi:10.3322/caac.21660
  5. Wu LZ, Han RQ, Zhou JY, et al (2014b). Incidence and mortality of female breast cancer in Jiangsu, China. Asian Pac. J. Cancer Prev, 15, 2727-32.
  6. Virani S, Sriplung H, Rozek LS, et al (2014). Escalating burden of breast cancer in southern Thailand: analysis of 1990-2010 incidence and prediction of future trends. Cancer Epidemiol, 38, 235-43
  7. Thomas D. B. (1993). Breast cancer in men. Epidemiologic reviews, 15(1), 220–231.https://doi.org/10.1093/oxfordjournals.epirev.a036108
  8. Hilton, H. N., Clarke, C. L., & Graham, J. D. (2018). Estrogen and progesterone signalling in the normal breast and its implications for cancer development. Molecular and cellular endocrinology, 466, 2–14. https://doi.org/10.1016/j.mce.2017.08.011
  9. American Cancer Society, 2016
  10. Familial breast cancer: collaborative reanalysis of individual data from 52 epidemiological studies including 58,209 women with breast cancer and 101,986 women without the disease. Lancet 2001;358:1389-99
  11. American Cancer Society (ACS)
  12. Islam, T., Bhoo-Pathy, N., Su, T. T., Majid, H. A., Nahar, A. M., Ng, C. G., Dahlui, M., Hussain, S., Cantwell, M., Murray, L., Taib, N. A., & MyBCC study group (2015). The Malaysian Breast Cancer Survivorship Cohort (MyBCC): a study protocol. BMJ open, 5(10), e008643. https://doi.org/10.1136/bmjopen-2015-008643
  13. Vinnicombe S. J. (2018). Breast density: why all the fuss?. Clinical radiology, 73(4), 334–357. https://doi.org/10.1016/j.crad.2017.11.018
  14. Krul, I. M., Opstal-van Winden, A., Aleman, B., Janus, C., van Eggermond, A. M., De Bruin, M. L., Hauptmann, M., Krol, A., Schaapveld, M., Broeks, A., Kooijman, K. R., Fase, S., Lybeert, M. L., Zijlstra, J. M., van der Maazen, R., Kesminiene, A., Diallo, I., de Vathaire, F., Russell, N. S., & van Leeuwen, F. E. (2017). Breast Cancer Risk After Radiation Therapy for Hodgkin Lymphoma: Influence of Gonadal Hormone Exposure. International journal of radiation oncology, biology, physics, 99(4), 843–853. https://doi.org/10.1016/j.ijrobp.2017.07.016
  15. Olsson, H. L., & Olsson, M. L. (2020). The Menstrual Cycle and Risk of Breast Cancer: A Review. Frontiers in oncology, 10, 21. https://doi.org/10.3389/fonc.2020.00021
  16. Adami, H. O., Lagiou, P., & Trichopoulos, D. (2012). Breast cancer following diethylstilbestrol exposure in utero: insights from a tragedy. European journal of epidemiology, 27(1), 1–3. https://doi.org/10.1007/s10654-012-9655-0
  17. Wen, H. Y., & Brogi, E. (2018). Lobular Carcinoma In Situ. Surgical pathology clinics, 11(1), 123–145. https://doi.org/10.1016/j.path.2017.09.009
  18. Nindrea, R. D., Usman, E., Katar, Y., Darma, I. Y., Warsiti, Hendriyani, H., & Sari, N. P. (2021). Dataset of Indonesian women’s reproductive, high-fat diet and body mass index risk factors for breast cancer. Data in brief, 36, 107107. https://doi.org/10.1016/j.dib.2021.107107
  19. Li, H., Sun, X., Miller, E., Wang, Q., Tao, P., Liu, L., Zhao, Y., Wang, M., Qi, Y., & Li, J. (2017). BMI, reproductive factors, and breast cancer molecular subtypes: A case-control study and meta-analysis. Journal of epidemiology, 27(4), 143–151. https://doi.org/10.1016/j.je.2016.05.002
  20. Gioseffi, C., Padilha, P. C., Chaves, G. V., Oliveira, L. C., & Peres, W. A. F. (2022). Body Weight, Central Adiposity, and Fasting Hyperglycemia Are Associated with Tumor Characteristics in a Brazilian Cohort of Women with Breast Cancer. Nutrients, 14(22), 4926. https://doi.org/10.3390/nu14224926
  21. Uhomoibhi, T. O., Okobi, T. J., Okobi, O. E., Koko, J. O., Uhomoibhi, O., Igbinosun, O. E., Ehibor, U. D., Boms, M. G., Abdulgaffar, R. A., Hammed, B. L., Ibeanu, C., Segun, E. O., Adeosun, A. A., Evbayekha, E. O., & Alex, K. B. (2022). High-Fat Diet as a Risk Factor for Breast Cancer: A Meta-Analysis. Cureus, 14(12), e32309. https://doi.org/10.7759/cureus.32309
  22. Swain, C. T. V., Drummond, A. E., Milne, R. L., English, D. R., Brown, K. A., Chong, J. E., Skinner, T. L., van Roekel, E. H., Moore, M. M., Gaunt, T. R., Martin, R. M., Lewis, S. J., & Lynch, B. M. (2022). Linking Physical Activity to Breast Cancer Risk via Insulin/Insulin-Like Growth Factor Signaling System, Part 1: The Effect of Physical Activity on the Insulin/Insulin-Like Growth Factor Signaling System. Cancer epidemiology, biomarkers & prevention : a publication of the American Association for Cancer Research, cosponsored by the American Society of Preventive Oncology, 31(12), 2106–2115. https://doi.org/10.1158/1055-9965.EPI-22-0504
  23. Freudenheim J. L. (2020). Alcohol’s Effects on Breast Cancer in Women. Alcohol research : current reviews, 40(2), 11. https://doi.org/10.35946/arcr.v40.2.11
  24. Catsburg C, Kirsh VA, Soskolne CL, Kreiger N, Rohan TE. Active cigarette smoking and the risk of breast cancer: a cohort study. Cancer Epidemiol. 2014;38:376–381. doi: 10.1016/j.canep.2014.05.007
  25. Li, M., Han, M., Chen, Z., Tang, Y., Ma, J., Zhang, Z., Liu, Z., Zhang, N., Xi, C., Liu, J., Tian, D., Wang, X., Huang, X., Chen, J., Wang, W., & Zhai, S. (2020). Does marital status correlate with the female breast cancer risk? A systematic review and meta-analysis of observational studies. PloS one, 15(3), e0229899. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0229899
  26. Redondo CM, Dominguez MG, Ponte SM, et al. Breast feeding, parity and breast cancer subtypes in a Spanish cohort. PLoS One. 2012;7:1–7
  27. Tan, M. M., Ho, W. K., Yoon, S. Y., Mariapun, S., Hasan, S. N., Shin-Chi Lee, D., Hassan, T., et al. 2018. A case-control study of breast cancer risk factors in 7,663 women in Malaysia. PLoS ONE 13(9): 1–12. doi:10.1371/journal.pone.0203469
  28. Vinogradova, Y., Coupland, C., & Hippisley-Cox, J. (2020). Use of hormone replacement therapy and risk of breast cancer: nested case-control studies using the QResearch and CPRD databases. BMJ (Clinical research ed.), 371, m3873. https://doi.org/10.1136/bmj.m3873