Lawatan Kerja dan Perbincangan Pelaporan Kemajuan Projek Bersama Yayasan PETRONAS

8 Jun 2023 – UMBI telah menerima satu lawatan kerja daripada Yayasan PETRONAS yang terdiri daripada Ketua Operasi Yayasan PETRONAS; YM Puan Tengku Noraida Tengku Mahmood, Pengurus Yayasan PETRONAS; Puan Adleen Fariza Kamaruddin dan Protege Yayasan PETRONAS; Cik Nur Asyiqeen Mazlan. Lawatan ini berlangsung pada 9.00 pagi sehingga 1.00 petang dan berjalan dengan jayanya. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada wakil Yayasan PETRONAS berkenaan proses analisa makmal yang terlibat serta melaporkan kemajuan terkini projek.

Lawatan ini dimulakan dengan lawatan ke Makmal Seksyen Sum-Sum Tulang dan Sitometri Aliran, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Aras 3, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK). Lawatan makmal tersebut diketuai oleh Dr. Yong Woon Lee, Ketua Jabatan, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, HPKK. Dr. Yong dan pasukan telah memberikan penerangan kepada pasukan dari Yayasan PETRONAS mengenai proses aliran kerja analisis saki baki penyakit (minimal residual disease (MRD)). 

Dr Farah memberikan penerangan berkenaan proses aliran kerja MRD kepada wakil Yayasan PETRONAS

 

Ketua Projek IMPACT dan pasukan MRD bersama wakil Yayasan PETRONAS di Lobi Utama HPKK. Turut hadir Pengarah HPKK; Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap dan Timbalan Pengarah (Perubatan) HPKK; Prof. Dr. Hamidah Alias

Lawatan ini diteruskan dengan lawatan ke Biobank dan Makmal Penjujukan Genom UMBI. Semasa lawatan ke Biobank UMBI, Ketua Projek telah memberikan penerangan berkenaan proses pengumpulan dan penyimpanan sampel penyelidikan serta lokasi penyimpanan sampel biospesimen projek ini. Di Makmal Penjujukan Genom, Dr. Ryia Illani memberikan penerangan berkenaan proses aliran kerja penjujukan genom penuh (whole genome sequencing (WGS)) bermula daripada proses pengekstrakan DNA dan RNA sehingga proses penjujukan genom seterusnya analisis data. Ketua Projek dan pasukan WGS memperkenalkan dua (2) platform utama yang digunakan dalam projek ini iaitu PromethIon dan  Ion GeneStudio S5 Prime System.

Dr Ryia memberikan penerangan berkenaan proses aliran kerja WGS kepada wakil Yayasan PETRONAS

Seterusnya, wakil Yayasan PETRONAS dan para penyelidik dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama UMBI bagi sesi perbincangan pelaporan kemajuan projek. Perbincangan yang berjalan selama 2 jam ini telah memberikan hasil positif terhadap pelaksanaan projek. Lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan santapan tengahari kepada para tetamu yang hadir.

Ketua Projek dan para penyelidik IMPACT bersama wakil Yayasan PETRONAS. Turut hadir Pengarah UMBI; Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad