AMSA UKM Health Day 2023: Bridging the Gap in Cancer Care
15 Oktober 2023 – Asian Medical Students’ Association of Universiti Kebangsaan Malaysia (AMSA UKM) melalui projek “Initiative for Precision Medicine in Paediatric Cancer Therapy (IMPACT): Improving Paediatric Cancer Survival Rate” dengan kerjasama National Cancer Society of Malaysia (NCSM), Unit Haematologi & Onkologi Pediatrik, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) UKM telah berjaya menganjurkan ” AMSA UKM Health Day 2023” bertempat di KL Gateway Mall. Program ini telah ditaja sepenuhnya oleh Yayasan PETRONAS melalui projek IMPACT.
Program ini memfokuskan tema “Closing The Care Gap – Cancer” dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal kanser selain kesedaran dalam mendapatkan rawatan yang tepat dan berkesan serta menangani jurang dalam penjagaan kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Intipati program 1 hari yang berinformatif dan interaktif ini dilengkapi dengan pelbagai pameran termasuk kaunter saringan kesihatan oleh pegawai perubatan yang bertauliah. Selain itu, turut diadakan adalah kempen kesedaran melalui penjagaan paliatif dan kaunter informasi kanser kanak-kanak. Program ini juga telah membuka peluang kepada para pengunjung untuk mengambil bahagian di dalam pengumpulan dana kepada tabung pesakit kanser kanak-kanak dan cabutan bertuah.
Kemuncak acara bagi program ini adalah perkongsian ilmu menerusi siri ceramah oleh pegawai perubatan bertauliah dari NCSM dan Unit Haematologi & Onkologi Pediatrik, HPKK, yang berkongsikan kepakaran mereka dalam pencegahan kanser, pengesanan awal dan penjagaan menyeluruh pesakit kanser kanak-kanak. Para pengunjung juga berpeluang untuk mempelajari perkembangan terkini bidang onkologi di samping meningkatkan pemahaman di dalam kepentingan mendapatkan akses sama rata bagi penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Selain itu, kupasan yang menarik melalui program ini juga adalah perkongsian pengalaman peribadi pejuang kanser serta semangat juang yang tinggi di dalam melawan kanser yang dihadapi.
AMSA UKM Health Day 2023 telah menyediakan platform yang berharga untuk para pengunjung dalam memupuk kesedaran dan pengetahuan masyarakat bagi pelbagai aspek berkaitan kanser. Diharap dengan penganjuran program seperti ini dapat memberikan impak yang bermakna dalam memastikan para pengunjung yang hadir pulang dengan peningkatan kesedaran dan komitmen yang tinggi untuk merapatkan jurang dalam penjagaan kanser.