ANEMIA? KENALI FAKTOR RISIKO
Ditulis oleh : Norliza binti Ismail, Dr. Noraidatulakma binti Abdullah@Muda & Nazihah binti Abd Jalal
Tarikh diterbitkan: 21 Jun 2021
Institut Biologi Molekul Perubatan UKM
Anemia merupakan salah satu masalah kesihatan awam yang paling biasa di kalangan masyarakat, tetapi ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia dikaitkan dengan banyak komplikasi kesihatan yang seterusnya menyumbang kepada bebanan ekonomi negara. Anemia secara umumnya adalah satu keadaan di mana badan mengalami kekurangan sel darah merah atau hemoglobin di dalam darah. Hemoglobin adalah protin yang kaya dengan zat besi dan memberikan warna merah pada darah. Protin ini berfungsi untuk membantu sel-sel darah merah membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh badan kita, seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah 1 [17]. Menurut William G. et al. (May 2020), kekerapan penyakit anemia di peringkat global mencatatkan sebanyak 22.8% (95% CI: 22.6–23.1) bagi semua peringkat umur [1]. Antara tiga penyebab utama di dunia adalah kekurangan zat besi, vitamin A dan beta-talasemia. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019 Malaysia pula melaporkan, kekerapan berlakunya kes anemia di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 21.3% [2], dengan kekerapan paling tinggi adalah wanita berbangsa India iaitu 39.8%.
Gambarajah 1: Sistem Peredaran Darah manusia [17]
Seseorang individu akan didiagnosis menghidap anemia setelah menjalankan prosedur pemeriksaan fizikal dan juga ujian darah. Tanda-tanda fizikal yang dihadapi oleh penghidap anemia adalah seperti pucat pada sekeliling bibir, mulut, kuku, pelipat dan di bahagian dalam kelopak mata (Rujuk gambarajah 2) manakala ujian kiraan darah penuh pula dijalankan bagi mengetahui jumlah sel darah merah dan tahap hemoglobin seseorang individu
Gambarajah 2: Simptom-simptom Anemia [19]
Selain itu juga, pemeriksaan mikroskop ke atas lumuran darah periferi (peripheral blood smear) juga dijalankan bagi mengetahui saiz dan bentuk sel darah merah tersebut sama ada normal atau sebaliknya. Seperti dalam gambarajah 3, saiz sel diukur berdasarkan min isipadu korpuskel sel darah tersebut. Jenis anemia pula akan diklasifikasikan mengikut nilai bacaan tersebut sama ada mikrositik (bawah 80 fl), normositik (80-100 fl), hipokromik atau Makrositik (lebih 100 fl) [12,18]. Ciri-ciri lain yang terdapat pada sel juga akan membantu dalam mendiagnosis secara lebih khusus kepada penghidap anemia tersebut. Terdapat tiga faktor risiko utama berlakunya anemia di kalangan masyarakat iaitu persekitaran, genetik dan juga amalan diet.
Gambarajah 3: Jenis anemia [18]
Golongan yang lebih berisiko untuk terdedah kepada anemia adalah golongan wanita, individu berumur melebihi 60 tahun dan berada di dalam sosioekonomi yang rendah [3] dikategorikan dalam faktor risiko persekitaran. Faktor risiko ini kebiasaannya menghidap anemia jenis normositik. Sel-sel darah merah jenis ini biasanya mempunyai saiz dan bentuk yang normal, tetapi akibat berlakunya kehilangan darah yang banyak disebabkan beberapa faktor luaran akan mengganggu aliran darah ke organ-organ utama yang menyumbang berlakunya anemia jenis ini. Faktor fisiologi seperti darah haid yang berlebihan, kehamilan (proses pembentukan bayi), pengambilan nutrien yang tidak mencukupi dan juga serangan parasit menjadikan golongan wanita lebih berisiko berbanding lelaki untuk menghidap anemia [7][8]. Manakala individu berumur 60 tahun dan ke atas menjadi golongan yang berisiko pula dikaitkan dengan kebarangkalian menghidap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang dan kekurangan nutrisi [6]. Pengurangan kadar rembesan eritropoietin bagi pesakit kegagalan buah pinggang yang kronik adalah faktor berlakunya anemia. Ini kerana rembesan eritropoietin merupakan hormon penting dalam pembinaan sel darah merah. Penemuan kajian ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Victoria et al. yang menyatakan bahawa individu yang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkan anemia berbanding individu yang sihat [5].
Anemia mikrositik dan makrositik biasanya berlaku akibat masalah keturunan atau genetik. Penyakit-penyakit darah (hemoglobinopathies) seperti anemia sel sabit dan talasemia merupakan antara salah satu contoh jenis anemia mikrositik. Anemia sel sabit adalah disebabkan oleh kerosakan genetik pada gen pembentuk hemoglobin seterusnya mengakibatkan pembentukan kepingan sel darah merah yang dihasilkan seperti bulan sabit dengan tekstur kaku dan lekit. Sel-sel darah jenis ini tidak dapat menjalankan fungsi-fungsinya dengan baik, seterusnya mengganggu sistem darah seseorang individu. Anemia yang disebabkan oleh faktor genetik menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi di kalangan kanak-kanak di negara- negara membangun [16]. Oleh itu, beberapa kaedah dan program perawatan dijalankan oleh negara- negara tersebut bagi menangani masalah yang dihadapi sekaligus membantu meneruskan kelangsungan hidup yang lebih baik kepada pesakit- pesakit ini.
Faktor terakhir penyebab terjadinya anemia adalah kerana amalan pemakanan atau diet yang kekurangan Vitamin B12, zat besi dan beberapa vitamin lain yang diperlukan oleh badan. Zat besi merupakan komponen yang penting daripada ratusan protin dan enzim dalam pembentukan hemoglobin. Ia terdiri daripada sejenis pigmen yang berfungsi sebagai tempat pautan oksigen (oxygen-binding site) dalam sel darah merah. Jika kandungan zat besi rendah, maka kadar hemoglobin akan berkurangan di dalam sel darah merah yang akan menyebabkan berlakunya anemia jenis mikrositik manakala kekurangan Vitamin B12 yang diperlukan bagi pembentukan sel darah merah yang sihat, akan menyebabkan anemia jenis makrositik berlaku. Di Malaysia, diet sesetengah etnik berkait rapat dengan kepercayaan budaya dan agama masing-masing. Bagi etnik india, pemakanan berasaskan sayuran atau vegetarian yang diambil mempunyai zat besi yang rendah jika dibandingkan dengan pengambilan daging [10] dan ini akan meningkatkan kadar risiko anemia [11]. Penemuan ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Zi Fei Chai et al. iaitu sebanyak 28.2 % merupakan kekerapan anemia di kalangan peserta wanita yang mengamalkan diet berasaskan sayuran [13]. Penemuan kajian ini juga merekodkan bahawa pengambilan tenaga yang tidak mencukupi daripada protin 5.52 kali lebih tinggi dalam kebarangkalian untuk mengalami anemia berbanding pengambilan protin yang mencukupi. Daripada ketiga-tiga makronutrien (karbohidrat, protein dan lemak), protin mempunyai pengaruh terbesar terhadap metabolisma zat besi seterusnya membantu mengurangkan kadar anemia di kalangan masyarakat. Kadar sosio ekonomi yang rendah menyumbang kepada beban penyakit global ini. Oleh itu National Plan of Action for Nutrition of Malaysia III 2016- 2025 telah menjalankan pelan intervensi bagi memantau tahap nutrisi serta kesihatan penduduk di Malaysia bagi mencegah penyakit yang berkaitan dengan diet [15].
Antara salah satu kajian berhubung anemia juga telah dijalankan oleh Abdullah, N et al, 2020 yang melibatkan 102,388 peserta dari Projek The Malaysian Cohort (TMC) berumur antara 35 dan 70 tahun yang direkrut dari April 2006 hingga September 2012 mendapati bahawa kekerapan anemia di kalangan peserta Projek The Malaysian Cohort (TMC) adalah 13.8% dengan majoriti mempunyai jenis mikrositik dan hipokromik [14]. Faktor risiko seperti persekitaran, genetik dan diet merupakan faktor risiko yang saling dikaitkan bagi seseorang individu yang didiagnosis menghidap anemia. Penemuan daripada beberapa kajian juga telah membincangkan dan membuktikan mengenai perkara ini. Maka penting bagi individu yang mengalami simptom- simptom minor anemia untuk diselidiki dan dirawat dengan segera bagi mengurangkan risiko komplikasi kesihatan dan seterusnya mengurangkan bebanan ekonomi negara.
Rujukan:
-
- William Gardner, Nicholas Kassebaum. Global, Regional, and National Prevalence of Anemia and Its Causes in 204 Countries and Territories, 1990–2019, Current Developments in Nutrition, Volume 4, Issue Supplement_2, June 2020, Page 830, 2020.
- National Health and Morbidity Survey 2019, Non-communicable diseases, healthcare demand, and health literacy, 2019.
- Awaluddin SM, Ahmad NA, Naidu BM, Mohamad MS, Yusof M, et al. (2017) A Population-based Anaemia Screening using Point-of-care in Estimating Prevalence of Anaemia in Malaysian Adults: Findings from a Nationwide Survey. J Community Med Health Educ 7:513. doi:10.4172/2161-0711.1000513
- Muslimah Yusof, S. Maria Awaluddin, Maisarah Omar, Noor Ani Ahmad, Fazly Azry Abdul Aziz, Rasidah Jamaluddin, Tahir Aris, And Maw Pin Tan. Prevalence of Anaemia among the Elderly in Malaysia and Its Associated Factors: Does Ethnicity Matter ?, 2018
- Victoria Forte, Miriam Kim, George Steuber, Salma Asad and Samy I. McFarlane, Anemia of Chronic Kidney Disease in Diabetic Patients: Pathophysiologic Insights and Implications of Recent Clinical Trials, 2011
- Patel KV, Epidemiology of anemia in older adults. SeminHematol 45: 210-217, 2008.
- Pala K, Dundar N, Prevalence and risk factors of anaemia among women of reproductive age in Bursa, Turkey. Indian J Med Res 128: 282, 2008.
- Piammongkol S, Chongsuvivatwong V, Williams G, Pornpatkul M, The prevalence and determinants of iron deficiency anemia in rural Thai-Muslim pregnant women in Pattani province, 2006.
- McLean E, Cogswell M, Egli I, Wojdyla D, de Benoist B, Worldwide prevalence of anaemia, WHO vitamin and mineral nutrition information system, 1993–2005. Public Health Nutr 12: 444, 2008.
- Chandyo RK, Strand TA, Ulvik RJ, Adhikari RK, Ulak M, et al. (2007) Prevalence of iron deficiency and anemia among healthy women of reproductive age in Bhaktapur, Nepal. Eur J Clin Nutr 61: 262-269, 2007.
- Haidar JA, Pobocik RS (2009) Iron deficiency anemia is not a rare problem among women of reproductive ages in Ethiopia: A community based cross sectional study. BMC Blood Disord 9: 7, 2009.
- Brittany S. Maner, Leila Moosavi. Mean Corpuscular Volume (MCV), 2019.
- Factors associated with anemia among female adult vegetarians in Malaysia, Zi Fei Chai, Wan Ying Gan, Yit Siew Chin,Yuan Kei Ching, and Mahenderan Appukutty, 2019.
- Abdullah, N., Ismail, N., Abd Jalal N, Mohd Radin FZ, Othman R, Kamalul Arifin AS, Kamaruddin MA, Jamal R. Prevalence of anaemia and associated risk factors amongst The Malaysian Cohort participants. Ann Hematol. 2020.
- National Plan of Action for Nutrition of Malaysia III, 2016-2025
- WHO Working Group (1982). Hereditary anaemias: Genetic basis, clinical features, diagnosisis, and treatment. Bulletin of the World Health Organization, 60(5), 643–660.
- https://www.mediamengajar.com/2018/04/organ-peredaran-darah-manusia-dan-fungsinya.html
- https://www.healthtestingcenters.com/file/macrocytic-anemiajpg/
- Sumber infografik: Laman web Kementerian Kesihatan Malaysia