Forum Kesedaran Saringan Kanser Kolorektal

20 Oktober 2024 | FORUM KESEDARAN SARINGAN KANSER KOLOREKTAL

CHERAS: Lebih daripada 90 orang peserta, terdiri daripada penduduk dari tujuh Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Bandar Tun Razak, telah menghadiri program Forum Kesedaran Saringan Kanser Kolorektal yang diadakan pada 20 Oktober 2024 di Dewan Serbaguna PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras. Program ini dianjurkan sebagai penutup kepada Program Saringan Kanser Kolorektal, yang merupakan sebahagian daripada pendekatan intervensi komuniti melalui Projek HICoE di bawah usaha sama UMBI, Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan DBKL.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan berkongsi maklumat penting berkenaan saringan awal kanser kolorektal, salah satu kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia. Peserta diberi peluang untuk mendapatkan pengetahuan terkini berkenaan apa itu kanser kolorektal, faktor dan risiko, langkah-langkah pencegahan dan pengesanan awal kanser kolorektal melalui sesi perkongsian panel yang terdiri daripada pakar-pakar terkemuka dalam bidang kesihatan.

Antara ahli panel yang terlibat ialah Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pakar Bedah Kolorektal dan Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah UMBI dan selaku Ketua Program Saringan ini, serta Prof. Madya Dr. Azimatun Noor Aizudin, Pakar Kesihatan Awam dari Fakulti Perubatan UKM. Mereka turut disertai oleh Dr. Nor Halizam Ismail, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL sebagai ahli panel program ini. Sesi forum ini dimudah cara oleh Prof. Madya Dr. Chin Siok Fong, Timbalan Pengarah UMBI, UKM sebagai moderator.

Program ini dimulakan dengan pembentangan rumusan program Saringan Kanser Kolorektal yang telah diadakan sepanjang 2023 oleh Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah UMBI, diikuti dengan sesi forum tersebut. Kehadiran yang menggalakkan daripada wakil-wakil PPR di Bandar Tun Razak mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan saringan awal kanser, khususnya kanser kolorektal. Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha berterusan untuk mendidik dan melindungi komuniti daripada ancaman penyakit kritikal ini.