Lawatan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ke UMBI

Pada 21 November 2024, Institut Biologi Molekul Perubabatan UKM (UMBI) telah menerima kunjungan dua pegawai daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk sesi pemantauan projek komuniti di bawah inisiatif Program Komuniti@UniMADANI. Sesi ini berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, bermula dengan lawatan tapak ke Pusat Rekrutmen, Projek The Malaysian Cohort (TMC) di Aras 6 sebelum diteruskan dengan taklimat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 9, Bangunan UMBI.

Sesi pemantauan ini bertujuan menilai kemajuan dan perkembangan projek “Menangani Obesiti – Intervensi dan Penggunaan Wearables ke Arah Komuniti Sihat Sejahtera dan Madani” yang dibiayai oleh pihak MOF. Projek ini memberi fokus kepada intervensi gaya hidup dan pengaplikasian teknologi moden seperti aplikasi telefon pintar untuk menangani penyakit obesiti di kalangan komuniti dan seterusnya meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pusat Jaringan Industri & Komuniti (I-Kom), UKM bertindak sebagai urusetia sesi pemantauan ini, yang melibatkan perbincangan tentang kemajuan pelaksanaan program, cabaran yang dihadapi, serta impak awal program terhadap komuniti. Lawatan ke Pusat Rekrutmen TMC turut memberi peluang kepada pihak MOF untuk memahami secara lebih mendalam aspek pengoperasian projek, termasuk strategi rekrutmen peserta dan proses pencerapan data kesihatan yang dijalankan.

Program ini mencerminkan komitmen UKM dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk memperkasakan komuniti melalui pendekatan saintifik dan inovasi. Kerjasama strategik antara UMBI, UKM dan MOF ini diharap dapat terus menyumbang ke arah kesihatan dan kesejahteraan masyarakat yang mampan, selari dengan matlamat pembangunan nasional.