Laporan Sijil Profesional Penjujukan Genom 2024
26 November 2024 – UMBI telah berjaya menganjurkan Program Sijil Profesional Penjujukan Genom Siri Ketiga yang berlangsung dari 23 September hingga 20 November 2024. Kursus ini dikendalikan oleh enam felo penyelidik UMBI dengan sokongan pasukan kakitangan makmal UMBI. Seramai 16 peserta telah menyertai program ini, terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam (USM, UKM, USIM, dan IMU), pakar perubatan dari hospital awam dan swasta (HKL, HPKK, Sunway Medical Centre, Hospital Tunku Azizah, dan Hospital Ampang) serta wakil dari sektor swasta (BP Healthcare, Wellness Genetic Testing, dan New Era Scientific Solutions).
Program ini merangkumi tiga modul utama iaitu:
- Prinsip asas DNA dan penjujukan genom.
- Teori dan amali penjujukan pendek dan panjang.
- Analisis bioinformatik.
Program ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan secara mendalam mengenai konsep asas dan aplikasi DNA serta penggunaan platform penjujukan generasi terkini dalam penyelidikan perubatan terutamanya penyelidikan perubatan jitu. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada aliran kerja lengkap, bermula daripada penyediaan library untuk penjujukan genom sehingga analisis data melalui pendekatan bioinformatik. Peserta juga berpeluang menganalisis dan mentafsir data penjujukan genom yang diperoleh daripada mesin penjujukan, melalui analisis sekunder dan tertier, bagi mengenal pasti varian yang berkaitan dengan patofisiologi penyakit.
Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat baik daripada para peserta. Diharapkan Program Sijil Profesional Penjujukan Genom ini dapat diteruskan pada siri-siri akan datang untuk memperkukuh ilmu dan kemahiran peserta, sekali gus meletakkan UMBI sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi penjujukan genom bagi perubatan jitu.
Disediakan oleh: Dr Muhammad Redha Abdullah Zawawi & Nur Alyaa Afifah Md Shahri