Laporan Sijil Profesional Teknologi CRISPR 2024
16 April 2024 – Buat julung kalinya, UMBI telah berjaya menganjurkan Sijil Profesional Teknologi CRISPR pada 13 Februari – 13 Mac 2024 yang lalu. Kursus ini diterajui bersama oleh dua orang felo penyelidik UMBI iaitu Ts. Dr. Saiful Effendi Syafruddin dan Dr. Mohamad Aimanuddin Mohtar dengan dibantu oleh sekumpulan kakitangan makmal UMBI. Seramai 11 orang peserta telah mendaftar dan menghadiri program ini yang terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik dari IPTA mahupun agensi kerajaan (UPM, UM, UiTM, UTHM, UNISZA, MJIIT-UTMKL dan IMR) serta agensi swasta (NIBM-ABI dan SK Karisma Sdn. Bhd.).
Tujuan utama penganjuran sijil professional ini adalah untuk memberi pendedahan kepada prinsip dan aplikasi teknologi CRISPR dalam bidang penyelidikan terutamanya perubatan. Selain pembelajaran secara komprehensif terhadap aliran kerja dan aspek teknikal berkaitan penggunaan teknologi CRISPR untuk tujuan pengubahsuaian gen sel eukariot dalam penyelidikan dan kajian. Peserta turut berpeluang menjalankan amali merekabentuk dan teknik pengklonan RNA panduan ke dalam vektor pengekspresan, dan seterusnya memasukkan plasmid berkenaan ke dalam sel selanjar kanser yang membolehkan pengubahsuaian gen berlaku. Keberjayaan hasil pengubahsuaian ini dapat dilihat melalui analisis menggunakan teknik Western Blot (protein).
Program ini telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat maklum balas yang positif daripada kesemua peserta. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur di atas kerja keras dan komitmen yang tinggi dalam memastikan sijil profesional ini berjalan lancar dan menepati objektif yang direncanakan. Diharapkan penganjuran sijil profesional ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang sebagai wadah perkembangan ilmu dan kepakaran seterusnya menjadikan UMBI sebagai pusat rujukan dalam lapangan aplikasi teknologi CRISPR dalam penyelidikan.
Disediakan oleh : Siti Nur Hasanah Mohd Yusuf & Mohd Raziff Alias