Lawatan Pelajar Perubatan CMU, Taiwan

Pada 10 Julai 2024, sekumpulan pelajar perubatan dari CMU, Taiwan telah mengadakan lawatan pendidikan ke Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI). Delegasi seramai 12 orang ini merupakan peserta daripada Asian Medical Students Exchange Programme (AMSEP) Malaysia-Taiwan di bawah anjuran AMSA UKM sidang 2023/2024.

Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan perkongsian terhadap fasiliti termaju institut penyelidikan perubatan di UKM disamping mengetengahkan tahap perkhidmatan penyelidikan dan diagnostik yang berkualiti tinggi kepada mereka.

Delegasi yang diiringi oleh ahli AMSA ini telah dibawa melawat ke makmal-makmal UMBI di aras 3 dan turut di bawa ke Biobank UMBI yang merupakan biobank terbesar di Asia Tenggara. Sebelum itu, delegasi telah diberikan taklimat ringkas berkenaan latar belakang dan operasi UMBI oleh Pengurus Makmal UMBI, En. Mohd. Raziff Alias. Sesi lawatan diakhiri dengan sesi bergambar dan taklimat akhir.

Diharapkan lawatan ini mencapai objektifnya disamping memberi pengalaman dan ilmu baharu kepada para pelajar yang terlibat, seterusnya dapat membuka peluang kepada lebih banyak kolaborasi di masa hadapan apabila mereka pulang ke negara asal.