Lawatan Rasmi De La Salle Medical and Health Sciences Institutes, Philippines

16 Mei 2024 | Pro-Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid telah merasmikan lawatan rasmi delegasi De La Salle Medical and Health Science Institutes (DLSMHSI), Philippines ke Universiti Kebangsaan Malaysia (Kampus Kuala Lumpur) pada 16 Mei 2024.

Delegasi daripada DLSMHSI yang dipimpin oleh Vice Chancellor of Academics, Naomi M. De Aro, RN, MAN turut dihadiri oleh 20 orang warga DLSMHSI merangkumi dekan-dekan kolej akademik, pengarah pusat perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan mereka. Lawatan yang diselaraskan oleh Fakulti Sains Kesihatan ini turut melibatkan semua fakulti dan institut di Kampus Kuala Lumpur iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi dan Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI).

Turut hadir semasa sesi lawatan ini adalah Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof. Dr. Suzana Shahar, Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom, Dekan Fakulti Farmasi, Prof. Dr. Mohd Makmor Bakry, Pengarah UMBI, Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah yang mewakili Dekan Fakulti Perubatan, Felo Utama Pejabat Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie, Timbalan Dekan (Prasiswazah) dan Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Sains Kesihatan, Timbalan Dekan (HEJIM) Fakulti Pergigian, Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Farmasi, Timbalan Pengarah UMBI, wakil UKMGlobal dan pegawai-pegawai fakulti yang terlibat.

Lawatan ini melibatkan sesi penandaarasan yang memfokuskan kepada peluang-peluang kerjasama program akademik dan program pertukaran pelajar. Pelawat juga dibawa melawat ke fasiliti-fasiliti di semua fakulti dan institut yang berkaitan bagi berkongsi teknologi-teknologi yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan.

Diharapkan kerjasama ini akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak dan meluaskan jaringan UKM di persada antarabangsa.