Lawatan Sambil Belajar oleh Pelajar Fakulti Sains Gunaan UiTM ke UMBI
CHERAS, 6 Jun 2024 – Seramai 40 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Biomolekul (Kepujian) dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) hari ini. Lawatan ini, yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 petang, diketuai oleh pensyarah mereka Dr. Maslinda Musa dan turut disertai oleh tiga orang pengiring.
Tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang fasiliti, aplikasi dan teknologi biologi molekul dalam situasi sebenar. Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang melihat secara langsung bagaimana teknologi biologi molekul digunakan dalam penyelidikan dan industri, serta memahami proses-proses yang terlibat dalam pengurusan makmal dan penyimpanan sampel biobank .
Lawatan ini merupakan salah satu usaha UiTM untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran para pelajar melalui pendedahan praktikal dan interaksi langsung dengan dunia sebenar bidang biologi molekul. Para pelajar menunjukkan minat yang tinggi dan aktif bertanya soalan sepanjang sesi lawatan, mencerminkan kesungguhan mereka dalam mendalami bidang ini.
Diharapkan, lawatan ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dan menceburi bidang biologi molekul dan bioteknologi, serta memahami kepentingannya dalam pembangunan sains dan teknologi di Malaysia.