Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti Bandar Tun Razak
14 Ogos 2022 – UMBI dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, DBKL dan Persatuan Penduduk Desa Tun Razak (DTR) telah melaksanakan Program Saringan Kanser Kolorektal di Dewan Komuniti DTR. Program bermula jam 9 pagi dan selesai pada jam 4 petang. Seramai 84 orang penduduk DTR telah menyertai ujian saringan kanser yang dijalankan. Program ini adalah di bawah dana penyelidikan – Projek Pemeriksaan Kanser Kolorektal Menggunakan Ujian Darah pada Najis (iFOBT) dalam Populasi Malaysia berumur 40 – 65 tahun (HiCOE-CRC) dan Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS). Seramai 18 kakitangan dan pelajar UMBI terlibat sebagai sukarelawan and urusetia program. Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr Azian Abd Murad, Pengarah UMBI dan diteruskan dengan taklimat kesedaran kanser oleh Prof. Madya Dr Azmawati, Pakar Perubatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM. Turut hadir adalah Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Pro VC UKM Kampus Kuala Lumpur dan Dr. Nor Halizam Ismail, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, DBKL (juga penyelidik bersama penyelidikan ini).
Di Malaysia, kanser kolorektal merupakan kanser utama bagi lelaki dan kedua selepas kanser payudara bagi wanita. Selain itu, Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016 melaporkan lebih 70% kanser kolorektal dikesan berada pada tahap 3 serta 4, iaitu tahap akhir yang sukar untuk diubati dan dipulihkan. Projek ini bertujuan untuk mengakses tahap kesedaran komuniti penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras, Kuala Lumpur, dengan menyediakan platform saringan awal percuma kanser kolorektal. Projek ini memilih subjek kajian di PPR kerana kebanyakan penduduk adalah rentan dan B40. Tambahan pula, peserta yang positif bagi saringan ini, rawatan susulan kolonoskopi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) akan diberikan secara percuma. Pada akhir projek ini, analisa keberkesanan kos saringan awal kanser kolorektal menggunakan kit iFOBT akan dilaksanakan.
Program ini diharap dapat menanam kesedaran kanser kolorektal, dengan mengesan tanda-tanda awal penyakit tersebut, seterusnya dapat mengurangkan beban kewangan penduduk disamping meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan keseluruhan warga PPR.