Sambutan Hari Kanser Kanak-Kanak Sedunia 2023

28 Februari 2023 – Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) bersama Projek IMPACT di bawah tajaan Yayasan PETRONAS dengan jayanya telah mengadakan Sambutan Hari Kanser Kanak-Kanak Sedunia. Sambutan ini berlangsung dari 8.00 pagi sehingga 4.00 petang di HPKK dengan pengisian pelbagai sesi taklimat dan aktiviti. Peserta yang hadir bagi program adalah orang awam, pesakit, ibu bapa / penjaga, pelajar serta kakitangan.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan kesedaran berkaitan kanser kanak-kanak khususnya kepada golongan B40, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan golongan rentan yang lain. Antara intipati program adalah sesi interaktif dan sesi sembang santai oleh agensi dan NGO sokongan kanser. Selain itu, sambutan ini juga turut dimeriahkan dengan pelbagai pameran jualan dan aktiviti permainan yang disediakan oleh Perkhidmatan di HPKK bagi para pengunjung yang hadir.

Antara kupasan yang diberikan semasa sesi interaktif adalah pengenalan kepada kanser, sesi perkongsian bersama pejuang pesakit kanser, nutrisi dan pemakanan kanak-kanak, kefahaman pengurusan dan penjagaan “Central Venous Access Device” (CVAD) serta sokongan emosi dan psikologi ibu bapa / keluarga pesakit.

 

Manakala sesi sembang santai pula melibatkan perkongsian daripada beberapa wakil agensi dan NGO sokongan kanser seperti :

  1. Wakil Unit Hasil Perkhidmatan Kewangan HPKK
  2. Ustazah Khairunnisak Ismail, wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP)
  3. Encik Ahmad Nu’man Abdul Rahman, wakil Majlis Kanser National (MAKNA)
  4. Puan Mimi Zarina Omar, wakil Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CakNe)
  5. Puan Idayu Mukti.wakil Rumah Ronald Mcdonald HCTM
  6. Encik Hafiz Safwan Aminordin, wakil AIA Takaful

Diharap dengan penganjuran sambutan seperti ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran peserta sasaran mengenai kanser kanak-kanak serta pengurusan pesakit kanser kanak-kanak.

Sesi bergambar semasa upacara perasmian Sambutan Hari Kanser Kanak-Kanak Sedunia

 

Urus setia Sambutan Hari Kanser Kanak-Kanak Sedunia

 

Tentatif program Sambutan Hari Kanser Kanak-Kanak Sedunia