Penubuhan Hab Warisan Digital mencipta inovasi baharu yang melibatkan projek transformasi Istana Puteri Bongsu sebagai sebuah Pusat Pendigitalan Warisan dalam memperkasakan kelestarian kajian warisan budaya dan kearifan tempatan dengan nafas baharu menerusi teknologi masa kini. Istana Puteri Bongsu, yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memainkan peranan penting sebagai Hab Warisan Digital yang mengintegrasikan teknologi kontemporari dalam memperkasa identiti warisan budaya berteraskan tunjang penyelidikan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM. Hab Warisan Digital bertujuan menyemarakkan kembali kajian warisan budaya alam Melayu serta mempromosikan pemeliharaan dan pemahaman tentang warisan budaya Melayu, disamping mengukuhkan komitmen Malaysia dalam melestarikan warisan Melayu untuk generasi masa depan.
Istana Puteri Bongsu, yang asalnya merupakan simbol sejarah dan budaya Melayu, kini dihidupkan semula melalui pelbagai inisiatif teknologi digital yang inovatif bersama dengan kerjasama pelbagai rakan strategik dan penyelidikan ATMA melalui penerapan teknologi terkini seperti realiti terimbuh (augmented reality-AR) dan realiti maya (virtual reality-VR). Kedua-dua teknologi ini telah diaplikasikan bagi memaparkan keindahan seni bina dan keunikan istana sesuai dengan fungsinya sebagai hab pembelajaran interaktif dalam pameran sewaktu pelancarannya.
Dalam mengangkat ketamadunan Melayu, cabaran masa kini adalah bagi memperlihatkan kebolehcapaian objek warisan tampak dan bukan tampak yang seharusnya selari dengan teknologi kecerdasan buatan semasa. Justeru, penggunaan teknologi AR dan VR membolehkan pelawat dan penyelidik bukan sahaja menyaksikan seni bina tradisional, tetapi juga mengalami dan memahami keunikan budaya Melayu dengan lebih interaktif. Teknologi AR, misalnya, memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dan memahami seni bina istana secara terperinci, menghidupkan elemen-elemen reka bentuk yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Istana Puteri Bongsu juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan, yang menggalakkan kolaborasi antara pelbagai institusi dan badan penyelidikan. Pembangunan teknologi AR ini misalnya, adalah kerjasama di antara felo penyelidik ATMA dan pihak British Council, Scotland Rural College University dan Ecosystems Network Knowledge dari United Kingdom yang sama-sama berkongsi kepakaran dalam membangunkan pengisian di istana. Dalam pada itu, teknologi VR dibangunkan untuk membolehkan pelawat seolah-olah berjalan dalam dunia Melayu lama, menjelajah ruang dan masa ketika zaman kegemilangan istana di abad ke 19.
Peranan Istana Puteri Bongsu sebagai hab digital yang bertempat di Selangor ini juga memberikan sumbangan besar kepada penyelidikan dan pendidikan dalam bidang warisan budaya. Seiring inisiatif yang dipacu kerajaan negeri Selangor yang menerapkan teknologi pintar termasuklah, Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar (SDI) Smart Selangor, Smart Selangor Parkir (SSP), e-kupon dan e-pembayaran warganegara (CEpat) yang menunjukkan kesediaan negeri ini untuk beralih ke inovasi digital dalam memastikan sistem penyampaian lebih cepat kepada orang ramai.
Kini, sebagai sebuah pusat pembelajaran yang interaktif, Istana Puteri Bongsu berfungsi sebagai sumber rujukan yang penting untuk pelajar, penyelidik, dan juga masyarakat umum. Penubuhan galeri digital yang memaparkan elemen budaya dan sejarah menggunakan teknologi AR dan VR menyediakan platform yang lebih dinamik untuk berkongsi maklumat merangkumi falsafah, kearifan tempatan, adat, dan amalan budaya Melayu. Melalui hab ini, pelawat bukan sahaja diberi peluang untuk menghayati warisan budaya tempatan, tetapi juga dapat memahami kepentingan budaya pada pembentukan jati diri masyarakat Malaysia.
Secara keseluruhannya, Istana Puteri Bongsu sebagai hab digital warisan di UKM bukan sahaja menghidupkan semula sejarah dan budaya Melayu, tetapi juga memacu inovasi dalam kajian warisan. Ia menjadi simbol usaha kolektif untuk memelihara dan melestarikan warisan Melayu dalam era teknologi moden. Hab ini bukan sahaja mendekatkan generasi baru kepada sejarah, tetapi juga menjadikan sejarah lebih relevan dan menarik untuk dipelajari dan dihargai. Dengan usaha ini, warisan budaya Melayu tidak hanya sekadar dikenang tetapi terus hidup dan berkembang dalam dunia yang semakin maju.
Oleh: Gs. Dr. Muhamad Solehin Fitry bin Rosley & Sri Yanti Binti Mahadzir
solehin@ukm.edu.my; yantie@ukm.edu.my
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rujukan
Abu Karim, M. (2024, May 27). UKM Lancar Hab Warisan Digital – Berita UKM. https://www.ukm.my/beritaukm/ukm-lancar-hab-warisan-digital/.
Harun, N. Z., & Mahadzir, S. Y. (2021). 360° Virtual Tour of the Traditional Malay House as an Effort for Cultural Heritage Preservation. IOP Conference Series: Earth and Environmental Science, 764(1). https://doi.org/10.1088/1755-1315/764/1/012010
Mah, O. B. P., Yan, Y., Tan, J. S. Y., Tan, Y. X., Tay, G. Q. Y., Chiam, D. J., Wang, Y. C., Dean, K., & Feng, C. C. (2019). Generating a virtual tour for the preservation of the (in)tangible cultural heritage of Tampines Chinese Temple in Singapore. Journal of Cultural Heritage. https://doi.org/10.1016/j.culher.2019.04.004
Mahadzir, S. Y., & Harun, N. Z. (2020). Pembangunan Lawatan Maya 360° Rumah Tradisional Melayu Sebagai Satu Usaha Pemeliharaan Senibina Warisan. Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Alam Melayu 2020, 607–625.
Tehrani, F. (2024, May 16). Selangor Sebagai Hab Warisan Digital. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2024/05/16/selangor-sebagai-hab-warisan-digital/
Zahid, L. (2024, May 16). MB Selangor Lancar Hab Warisan Digital UKM. Https://Dewanbudaya.Jendeladbp.My/2024/05/16/8846/.