Yayasan Canselor

 The Chancellor's Foundation of UKM

Majlis Perasmian Telaga Tiub Dan Karnival Kesihatan di Surau Nurul As-Sakinah, Taman Lembah Bujang, Sungai Petani, Kedah

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyumbang kepakaran dengan membina telaga tiub di Surau Nurul As-Sakinah, Taman Lembah Bujang, Sungai Petani, Kedah bagi membantu penduduk di kawasan ini mendapat bekalan air alternatif.

Majlis penyerahan telaga tiub bersama sistem tapisan air ini adalah hasil kerjasama Yayasan Canselor UKM dan Fakulti Sains dan Teknologi, manakala dana untuk membina telaga tiub ini adalah sumbangan daripada Dana Amal Jariah Takaful IKHLAS General Berhad.

Kerjasama ini membolehkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang di UKM menyumbang ilmu, kemahiran dan pengalaman.

Selain kepakaran dalam bidang kajian air yang digembleng melalui projek ini, pakar dalam bidang lain seperti doktor perubatan juga turut terlibat sama dalam menjayakan Karnival Kesihatan UKM dan Program Mini Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat daerah Kuala Muda dengan disajikan pelbagai aktiviti dan pameran kesihatan yang menarik kepada komuniti di sekitar Lembah Bujang.

Pihak UKM mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Takaful IKHLAS General Berhad atas kesudian dan kerjasama dalam memberi tajaan bagi projek pembinaan telaga tiub serta tangki air di Surau Nurul As-Sakinah, dengan jumlah RM200,000. Tahniah Prof Madya Ts Dr Mohd Hariri Arifin yang menerima dana Industri Takaful Ikhlas melalui Yayasan Canselor UKM untuk projek tersebut.

Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub & Program Mini Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Kuala Muda (Siri 2) & Karnival Kesihatan UKM ini dihadiri oleh Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Chm Dr Ishak Ahmad dan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Agensi Takaful Ikhlas General Berhad, En Hamzah Alias.