Pengalaman PdP Di UKM Sewaktu Pandemik Covid 19
Hampir setahun kehidupan kita dibelenggu oleh pandemik Covid-19, sudah pasti banyak perubahan dan norma baharu yang berlaku dalam kehidupan seluruh warga dan Alumni UKM. Begitu juga dengan sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di UKM yang menghadapi cabaran dan perlu diteruskan oleh pensyarah dan pelajar.
Berdasarkan perkongsian daripada Dr. Suziana Mat Saad, sejak penularan wabak Covid-19 melanda negara pada awal tahun lepas, pelaksanaan PdP dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi kekurangan akses kepada internet lebih-lebih lagi di musim tengkujuh, namun ia tidak menjadi batu penghalang bagi tenaga pengajar dan pelajar untuk meneruskan proses PdP secara dalam talian.
Menurut Dr. Suziana, Bahasa Perancis merupakan satu bahasa asing yang baharu kepada pelajar untuk dipelajari dan memerlukan Dr. Suziana untuk senantiasa mengadakan kelas dan berinteraksi bersama pelajar. Pendedahan kepada pelbagai aplikasi dan teknologi terkini juga memberi faedah dan manfaat di mana ia dapat mengasah bakat dan kemahiran pelajar menerusi zaman komodenan ini. Perkataan “Empati” sering dinyatakan oleh Dr. Suziana di mana kita perlu bersifat empati sesama manusia sewaktu pandemik ini. “Saya sebagai tenaga pengajar perlu bersifat empati dan mengambil berat keadaan pelajar,” kata Dr Suziana. Suasana pembelajaran bagi setiap pelajar adalah berbeza dan perlu dititikberatkan. Elemen gurauan perlu diselit di dalam kelas bagi mengurangkan tekanan pelajar.
Akhir pesanan Dr Suziana kepada semua pelajar dan orang ramai untuk
senantiasa kekal positif dan bersyukur di atas nikmat hidup yang kita miliki dan jangan saling membanding kehidupan kita dengan yang lain. Situasi sekarang memerlukan kita semua untuk bekerjasama, tidak mementingkan diri dan terus berdoa agar keadaan negara kita kembali pulih seperti biasa.