Persidangan Waqaf Antarabangsa 2024 (IWC24)
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin mengiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ke Majlis Perasmian International Waqf Conference 2024 (IWC24) yang berlangsung di EQ Hotel, Kuala Lumpur pada 14-15 Mei 2024.
IWC24 diadakan selama dua hari dianjurkan dengan kerjasama antara Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (YCUKM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Persidangan ini menghimpunkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada pakar-pakar dan ilmuan-ilmuan bagi membincangkan aspek-aspek wakaf dari pelbagai perspektif dengan dua tema iaitu kelestarian ekonomi dan pembangunan ilmu.
YB Senator Dr. Zulkifli dalam ucapannya berkata IWC24 menjadi platform kepada pertukaran idea serta buah fikiran daripada kalangan peserta agar potensi instrumen wakaf dapat digembleng yang akhirnya akan menatijahkan pembangunan ekonomi yang lestari dan mampan.
Katanya, ini merupakan antara perkara yang penting untuk kita melihat bagaimana wakaf boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pembangunan ilmu.
Sementara itu,Prof Dato’ Ts Dr Norazah berkata melalui IWC24, semua peserta dapat mendalami potensi terutamanya dalam inovasi wakaf bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan dan global. Ini dapat memberi manfaat kepada pelbagai masyarakat khususnya pelajar dan kakitangan UKM.
Beliau berkata inisiatif ini selaras dengan aspirasi UKM, yang bertujuan untuk memastikan setiap warga universiti dapat mewujudkan identiti nasional, komitmen dan semangat yang kukuh untuk menyumbang kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.
Turut hadir adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Haji Abdullah; Ketua Pengarah Jawhar, Dato’ Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Adjunct Dr. Ridzwan Bakar; Ketua Pegawai Esekutif dan Pengarah Pergas Investment Holdings, merangkap penceramah utama IWC24, Dr. Shamsiah Abdul Karim dan Pengarah Yayasan Canselor UKM, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed.
#UniversitiWatanKita
#IlmuMutuBudi
#UKM
#UKMSharing