Yayasan Canselor

 The Chancellor's Foundation of UKM

Wakaf

LATAR BELAKANG

Dana Wakaf Ilmu Universiti Kebangsaan Malaysia (DWIUKM) merupakan inisiatif pendanaan yang mengguna pakai kaedah wakaf dan juga merupakan satu wadah yang memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang wakaf tunai kepada UKM. Inisiatif ini adalah kerjasama yang diwujudkan antara UKM dengan Perbadanan Wakaf Selangor selaku pemegang amanah tunggal wakaf di negeri ini. Yayasan Canselor telah dilantik sebagai urus setia untuk DWIUKM dan diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk menggerakkan pelbagai aktiviti wakaf sesuai dengan hasrat universiti bagi mewujudkan satu bentuk infrastruktur kewangan yang lestari untuk membantu menjaga kebajikan pelajar UKM khususnya serta keseluruhan warga UKM secara amnya.

Yayasan Canselor sebagai satu-satunya PTJ yang diberikan amanah sebagai urus setia DWIUKM turut menawarkan khidmat membantu PTJ lain untuk mewujudkan Tabung Wakaf Khas.  Tabung ini dibentuk mengikut hasrat dan keperluan setiap PTJ dalam usaha pengumpulan dana.  Antara kerjasama antara Yayasan Canselor dan PTJ melalui DWIUKM adalah pembelian sebuah kerusi pergigian bernilai RM136,500 yang telah diserahkan kepada Pusat Kesihatan Universiti, serta  berjaya mengumpul dana berjumlah RM88,000 untuk projek menaik taraf Mimbar Mihrab Masjid Universiti. Setiap dana yang disumbangkan dimanfaatkan sepenuhnya untuk penyediaan fasiliti dan prasarana, kebajikan dan program pengajaran dan pembelajaran untuk seluruh warga UKM.

Pendanaan menggunakan konsep wakaf tidak hanya terbatas kepada sumbangan daripada individu perseorangan dan organisasi milik Islam.   Sehubungan itu, penglibatan dan peranan daripada individu dan organisasi bukan Islam amat dialu-alukan dalam menjayakan DWIUKM. Yayasan Canselor bersedia bekerjasama dengan semua pihak dalam menjayakan pendanaan melalui berwakaf demi kebajikan dan kesejahteraan warga UKM.

OBJEKTIF

  • Berperanan sebagai paksi penggerak amalan sedekah jariah dalam usaha pembangunan dan pengimarahan ilmu ummah.
  • Membangunkan dana wakaf yang kukuh supaya pengurusan kewangan untuk aktiviti kebajikan dan kesejahteraan yang lebih lestari dan berkekalan.
  • Membangunkan sebuah aset kekal yang dapat memberikan pulangan hasil daripada segi sewaan dan mengubah landskap prasarana UKM.