2,589 PELAJAR ASNAF FAKIR & MISKIN BERPELUANG SAMBUNG PELAJARAN

SHAH ALAM, 1 April 2014 – Seramai 2,589 orang pelajar asnaf fakir dan miskin yang menerima keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini, berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui bantuan pendidikan yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mereka boleh menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S), Institusi Latihan Kemahiran Awam/Swasta (ILKA/S), kolej matrikulasi dan pusat asasi di seluruh negara yang disenaraikan oleh LZS serta diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Bantuan zakat ini termasuklah pembiayaan yuran pengajian, yuran penginapan, wang saku serta pendahuluan persediaaan pendaftaran. Ia adalah sebagai usaha LZS untuk melahirkan generasi kedua asnaf sebagai generasi cemerlang yang mampu membawa keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sehingga kini, seramai 4,567 orang pelajar asnaf fakir dan miskin sedang menuntut di beberapa IPT di seluruh negara.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1-800-88-5353 atau mana-mana 25 cawangan LZS di seluruh Selangor.