LZS RAIKAN KERJASAMA EJEN KUTIPAN DAN PENOLONG AMIL 2014

SHAH ALAM, 12 Mac 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan komitmen dan sumbangan ejen kutipan yang membantu menyebarkan dakwah zakat sekali gus meningkatkan kutipan zakat di Selangor, dalam Majlis Anugerah dan Penghargaan LZS 2014.

Ia disempurna oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Wisma PKPS dekat sini.

Majlis Anugerah dan Penghargaan LZS 2014 ini diadakan khusus untuk menghargai wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos, penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT), fitrah dan padi serta. Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pengeluar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS.

Sebanyak 9 anugerah membabitkan 21 kategori dan 3 anugerah khas disampaikan dalam majlis tersebut. Anugerah tersebut ialah Anugerah Kesetiaan Perkhidmatan, Anugerah Kesetiaan Pelanggan, Anugerah Prestasi Terbaik 2014, Anugerah Komitmen Terbaik 2014, Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik 2014, Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik 2014, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2014, Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik 2014 (Peratus Peningkatan Kutipan Tertinggi) dan Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik 2014 (Komitmen Terbaik).

Manakala tiga anugerah khas turut diberikan iaitu Anugerah Muaz bin Jabal (Kategori Ejen Kutipan), Anugerah Umat Al-Khattab (Kategori Bayaran Zakat Melalui Skim Berkat) dan Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Kategori Bayaran Zakat Perniagaan).

Turut hadir, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Siti Maslamah Osman, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Pengerusi MAIS Zakat Sdn Bhd, Dato’ Ibrahim Md. Yusof. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.