Pelajar Rohingya Gembira Sambut Aidilfitri Bersama Zakat UKM Di Sekolah Rohingya Seri Kembangan, Selangor

IMG_9517

BANGI, 08 Ogos 2016 – Unit Zakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pelajar Sekolah Rohingya kawasan Seri Kembangan di Selangor baru-baru ini.

Sumbangan kepada pihak pengurusan sekolah turut diberikan dalam majlis tersebut berjumlah RM  12,000.00 dan juga duit raya kepada para pelajar sekolah tersebut turut diberikan. Program yang diadakan ini bertujuan untuk memupuk silaturahim di antara rakyat Malaysia dan warga Rohingya agar mereka tidak merasakan diri mereka terpinggir dan dibiarkan oleh masyarakat.

Mejoriti para pelajar di sekolah ini terdiri daripada keluarga pelarian Rohingya yang menetap di seri Kembangan, Selangor. Sekolah tersebut ditubuhkan dibawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) bertujuan untuk mendidik anak-anak pelarian Rohingya agar mereka mempunyai pendidikan dan menjamin kehidupan yang baik pada masa hadapan. Selain itu  juga, ianya bertujuan adalah untuk mengekang anak-anak pelarian Rohingya terjebak dengan gejala sosial seperti dadah, gam dan sebagainya.

Program yang dianjurkan ini adalah salah satu usaha Unit Zakat UKM membantu pengurusan sekolah Rohingya meneruskan kelangsungan pengajaran mereka dalam mendidik anak bangsa warga Rohingya

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk YBhg. Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat,  Puan Hajjah Khalijah Binti Hj. Bakar Pengarah Eksekutif Kewangan, Prof. Madya Datuk Dr. Rokiah Omar, Pengarah Pusat Transformasi Bandar (UTC),  Prof. Dr. Azizah Kassim, Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.