PANGSAPURI CEMARA MENJADI TEMPAT BERTEDUH KAKITANGAN PPUKM DI BAWAH PEMBIAYAAN ZAKAT UNIVERSITI

Pangsapuri Cemara, Bandar Sri Permaisuri terletak 3km dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Kediaman yang berkeluasan 730 kaki persegi memiliki 3 bilik tidur dan 2 bilik air merupakan antara kediaman kos pertengahan yang sangat selesa didiami ditengah-tengah bandar kota Kuala Lumpur. Kemudahan sosial yang lengkap seperti sekolah, hospital, mrt, lrt, balai bomba, universiti dan lain-lain sangat menyokong pembangunan sosial penghuni di kawasan tersebut.

Ditambah lagi, kawasan kediaman ini turut dilengkapi dengan kawalan keselamatan berberpagar demi memastikan tahap keselamatan berada dalam keadaan terbaik. Begitulah juga tanggungjawab Universiti yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh menyantuni asnaf warga bagi memenuhi keperluan mereka.

Oleh itu, sebanyak 10 buah rumah di pangsapuri tersebut telah disediakan oleh Zakat Universiti kepada 10 asnaf kakitangan berkeluarga untuk tinggal secara percuma dalam tempoh yang telah ditetapkan. Hal ini merupakan satu usaha untuk    mempertingkatkan 7 teras keutamaan kehidupan iaitu kualiti hidup, kekeluargaan, sosial, keagamaan, mental dan kewangan ke arah yang lebih baik. Selain itu,  program-program sokongan turut dijalankan dalam mendokong kelangsungan peningkatan 7 teras tersebut seperti bantuan kelas tambahan, bantuan kelengkapan sekolah, bantuan sara hidup, bantuan yuran pengajian tinggi dan lain-lain.

Malah terdapat juga program-program yang masih dalam pelaksanaaan antaranya program motivasi keluarga, program kemahiran kewangan, program keluarga sakinah, program kesihatan mental, program pengurusan dan pembangunan diri, program kecemerlangan akademik dan lain-lain program yang melibatkan asnaf kakitangan dan keluarga. Zakat Universiti membelanjakan hampir RM200,000.00 setahun  bagi menjayakan segala program tersebut.