PERLU QADA ZAKAT WANG DI AMANAH RAYA? -LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

Ustaz, pihak Amanah Raya minta saya kirakan zakat atas si mati yang meninggal pada tahun 2013. Pada tahun 2022 ini baharulah wang itu diagihkan kepada pewaris. Soalannya, adakah sepanjang 2013 hingga 2021, wang itu wajib dizakatkan? Jika Amanah Raya tak keluarkan zakat, adakah wajib wang itu diqadakan? Terima kasih.

Jawapan:
1. Zakat hanya kepada yang hidup sahaja. Maka, jika orang itu meninggal pada tahun 2013, zakatnya dah terputus untuk hartanya hingga tahun 2022. Kecuali jika si mati ada zakat yang tak ditunaikan semasa dia hidup, maka baharu kena qada zakat itu.

2. Apabila wang itu dibahagikan kepada pewaris, maka ia menjadi hak pewaris dan zakat diwajibkan ke atas pewaris berkenaan. Wang itu adalah harta pendapatan maka ia wajib zakat pendapatan atas semua pewaris.

3. Sepanjang tahun 2013 hingga 2022, wang itu ada dalam jagaan pihak Amanah Raya maka waris tiada milik sempurna ke atasnya, maka ia tidak wajib dizakatkan. Tidak wajib qada juga bagi wang itu pada tahun-tahun berkenaan.

4. Pihak Amanah Raya tak wajib mengeluarkan zakat berkenaan bagi waris. Ini kerana, setiap pewaris mempunyai pemilikan yang tak sama atas wang berkenaan, dan ia juga bukanlah bersifat harta percampuran (khultah) di sisi semua waris, sehingga layak dizakatkan oleh pihak Amanah Raya sebagaimana Tabung Haji menzakatkan semua deposit pencarum.

5. Kesimpulannya, pewaris yang perlu membayar zakat pendapatan atas jumlah wang yang diterima pada tahun semasa (2022). Jika wang itu di bawah paras nisab, penerimanya perlu menggabungkan wang itu dengan lain-lain pendapatan yang mereka perolehi pada tahun 2022 dan dikira dengan kaedah tolakan had al-kifayah sebelum dizakatkan.

Wallahua’lam.

Oleh:
Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan,
Divisyen Syariah dan Dakwah,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS).